Kerjasama Ibu Bapa, Kolej Penting Lahirkan Graduan TVET Berkualiti
MIRI: Kerjasama erat antara ibu bapa, pihak kolej dan pelajar amat penting dalam memastikan kecemerlangan pendidikan serta melahirkan tenaga kerja berkemahiran tinggi yang mampu memenuhi keperluan industri masa kini.
Datuk Bandar Majlis Bandaraya Miri merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pujut Adam Yii Siew Sang berkata, graduan pendidikan vokasional memainkan peranan penting dalam memenuhi keperluan industri.
Ujarnya, masa depan yang cemerlang hanya dapat dicapai apabila wujud kerjasama yang kukuh antara ibu bapa, pensyarah, pelajar serta pihak industri.
“Apabila semua pihak berganding bahu, kita bukan sahaja dapat melahirkan graduan yang berilmu dan berkemahiran, malah mampu menyediakan generasi muda yang bersedia menghadapi cabaran dunia pekerjaan serta menyumbang kepada pembangunan ekonomi negara,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan PIBG, Majlis Anugerah Akademik Sesi 1/2025 serta Hari Permuafakatan Ibu Bapa dan Guru 2026 yang berlangsung di Dewan Permata, Kolej Vokasional Miri pada Sabtu.
Tambahnya, penganjuran program yang menghimpunkan tiga agenda penting itu merupakan satu platform yang amat bermakna kerana dapat memperkukuhkan hubungan kerjasama antara pihak kolej dan ibu bapa dalam usaha meningkatkan kecemerlangan pelajar.
Dalam pada itu, Adam Yii memberitahu, Bandar Miri mempunyai pelbagai peluang pekerjaan khususnya dalam sektor minyak dan gas, pembinaan, perkhidmatan serta industri teknikal yang memerlukan tenaga kerja mahir.
"Oleh itu, para pelajar perlu memanfaatkan peluang pendidikan yang ada untuk menguasai kemahiran yang relevan dengan kehendak industri supaya mereka mampu bersaing dan memperoleh tempat dalam pasaran pekerjaan," jelas beliau. -EDISI UKAS