Konflik Negara Teluk Dijangka Beri Kesan Kos Penerbangan
KUCHING: Krisis yang berlarutan di rantau Teluk berpotensi memberi kesan kepada peningkatan kos penerbangan termasuk perjalanan antara Sabah, Sarawak dan Semenanjung Malaysia susulan kenaikan harga minyak dunia.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Amar Fadillah Yusof, berkata peningkatan harga minyak global dijangka turut memberi kesan kepada kos insurans serta logistik, sekali gus mempengaruhi kos pengangkutan udara dan laut.
Menurut beliau, keadaan tersebut berkemungkinan mendorong pengenaan surcaj bahan api dalam penerbangan domestik dan antarabangsa yang akhirnya memberi impak kepada kos perjalanan rakyat, termasuk di Sarawak.
“Apabila harga minyak meningkat, kos insurans dan logistik juga akan naik. Ini termasuk kos operasi kapal terbang dan pengangkutan laut.
“Perjalanan antara Sabah, Sarawak dan Semenanjung Malaysia juga boleh terjejas kerana kemungkinan pengenaan surcaj bahan api dalam penerbangan domestik dan antarabangsa,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas menghadiri Program Sumbangsih Santunan Kasih Seindah Syawal di Pusat Khidmat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Samariang di sini pada Sabtu.
Dalam pada itu, Datuk Amar Fadillah turut menggesa orang ramai supaya mengamalkan penggunaan tenaga secara berhemah bagi mengurangkan penggunaan bahan api serta memastikan bekalan tenaga negara dapat dimanfaatkan dalam tempoh yang lebih panjang.
Menurutnya, Malaysia ketika ini masih mempunyai bekalan gas yang mencukupi sekurang-kurangnya sehingga Mei, selain beberapa alternatif bekalan yang telah dikenal pasti oleh Petroliam Nasional Berhad (PETRONAS), termasuk sumber dari Australia.
Beliau turut memaklumkan bahawa kedudukan ekonomi dan kewangan negara ketika ini masih berada pada tahap baik dan berdaya tahan, namun langkah berjaga-jaga perlu terus diambil sekiranya krisis tersebut berpanjangan.-EDISI UKAS