Datuk Gerawat Gala Tinjau Projek Jalan Kampung Hizrah, Benawa
MARUDI: Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Buruh, Imigresen dan Pemantauan Projek) Datuk Gerawat Gala, telah turun padang untuk meninjau sendiri projek jalan Kampung Hizrah, Benawa di sini pada Sabtu
Menurut beliau, lawatan itu bertujuan meninjau sendiri perkembangan serta kualiti pelaksanaan projek berkenaan bagi memastikan ia berjalan lancar dan memberi manfaat kepada penduduk setempat.
"Pemantauan secara berkala amat penting bagi memastikan projek pembangunan yang dilaksanakan kerajaan benar-benar memenuhi standard yang ditetapkan selain siap mengikut jadual," katanya.
Ujarnya, kerajaan Sarawak sentiasa komited untuk meningkatkan kemudahan infrastruktur di kawasan luar bandar, khususnya bagi memudahkan pergerakan penduduk serta meningkatkan kesejahteraan rakyat.
Datuk Gerawat juga menjelaskan, usaha untuk menaiktaraf jalan tersebut sedang dalam perancangan dengan pelaksanaannya kelak akan dilakukan secara berperingkat.
Tambahnya, penyukatan jalan itu akan dibuat oleh pihak Jabatan Tanah Dan Survei terlebih dahulu bagi memastikan tiada berlaku masalah dengan pemilik Tanah Hak Adat Bumiputera (NCR) atau sebagainya.
"Saya meminta agar tidak timbul terlalu banyak karenah serta tuntutan yang diluar kawalan yang boleh menyebabkan pelaksaan projek menjadi lewat atau terbatal," ujarnya.
Lawatan tersebut disertai seramai 47 peserta terdiri daripada penduduk kampung, kakitangan kerajaan serta ahli Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Kampung Hizrah dan Kampung Kuala Tutoh. -EDISI UKAS