SKAS Ringankan Beban Rakyat Hadapi Peningkatan Kos Sara Hidup
SIBU: Sumbangan Keperluan Asas Sarawak (SKAS) mencerminkan komitmen Kerajaan Sarawak dalam membantu rakyat menghadapi peningkatan kos sara hidup, khususnya golongan berpendapatan rendah dan sederhana.
Timbalan Menteri Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Michael Tiang Ming Tee berkata, program SKAS merupakan inisiatif penting yang diperkenalkan oleh kerajaan negeri di bawah kepimpinan Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg bagi meringankan beban rakyat.
Menurutnya, bantuan itu disasarkan kepada isi rumah berpendapatan bulanan kurang daripada RM5,000 yang layak menerima sehingga RM950 setahun untuk membeli keperluan harian seperti makanan dan barangan isi rumah.
“Penerima yang layak akan menerima baucar digital yang boleh digunakan untuk membeli barangan keperluan asas di premis yang mengambil bahagian termasuk Jumbo Grocer.
“Penggunaan baucar digital ini akan memudahkan rakyat memperoleh barangan keperluan asas di samping membantu mereka mengurus perbelanjaan harian,” katanya ketika melancarkan program SKAS bagi kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) N.54 Pelawan di Jumbo Grocer di sini, hari ini.
Datuk Micheal yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pelawan turut menegaskan bahawa, beliau akan terus memastikan setiap inisiatif Kerajaan Sarawak dapat disampaikan kepada rakyat dan dimanfaatkan sebaiknya.
“Saya berharap sumbangan SKAS ini dapat memberi manfaat kepada para penerima khususnya di kawasan Pelawan, sekali gus mengukuhkan semangat perpaduan dan saling membantu dalam kalangan masyarakat,” ujarnya.-EDISI UKAS