SIBU: Langkah keselamatan di kawasan sekolah perlu dipertingkatkan susulan insiden seorang pelajar perempuan berusia 16 tahun cedera selepas dilanggar sebuah kenderaan pacuan empat roda ketika melintas jalan di hadapan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tung Hua di Jalan Tun Abang Haji Openg pada Jumaat.
Timbalan Menteri Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Michael Tiang Ming Tee berkata, kejadian tersebut menunjukkan keperluan untuk menambahbaik kemudahan keselamatan di sekolah yang terletak di kawasan dengan aliran trafik yang sibuk.
“Saya melihat ini sebagai satu kemalangan yang tidak diingini melibatkan sebuah kereta dan seorang pelajar perempuan yang cuba melintas jalan di hadapan sekolah.
“Insiden seperti ini menunjukkan keperluan langkah keselamatan yang lebih baik bagi melindungi pelajar,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyempurnakan pelancaran program Sumbangan Keperluan Asas Sarawak (SKAS) bagi kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Pelawan di Jumbo Grocer di sini, hari ini.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pelawan itu berkata, pihaknya telah mengarahkan Majlis Perbandaran Sibu (MPS) untuk meneliti cadangan pemasangan lampu isyarat lintasan pejalan kaki di hadapan sekolah berkenaan bagi meningkatkan keselamatan pelajar yang perlu melintas jalan tersebut.
Menurutnya, cadangan itu merangkumi pembinaan lintasan zebra, pemasangan lampu isyarat serta pemasa kira detik bagi mengawal pergerakan trafik, khususnya pada waktu puncak persekolahan.
“Lampu isyarat lintasan ini hanya akan beroperasi pada waktu tertentu seperti sebelum dan selepas waktu persekolahan supaya tidak menjejaskan aliran trafik secara keseluruhan.
“Lampu isyarat lebih berkesan berbanding papan tanda semata-mata kerana ia memaksa pemandu berhenti apabila pelajar melintas jalan,” jelasnya.
Selain itu, Datuk Michael turut merancang pembinaan laluan berbumbung di sepanjang pagar SMK Tung Hua bagi menyediakan ruang menunggu yang lebih selamat kepada pelajar yang menunggu ibu bapa mereka.
Tambahnya, beberapa sekolah lain di kawasan Pelawan juga akan dipertimbangkan untuk penambahbaikan keselamatan yang sama, termasuk pembinaan jejantas pejalan kaki sekiranya keadaan jalan mengizinkan.
Beliau turut memaklumkan perunding telah diminta menyediakan reka bentuk jejantas pejalan kaki bagi sekolah-sekolah di sepanjang Jalan Ulu Sungai Merah.-EDISI UKAS