Jelajah Amal Ramadan Santuni Penduduk Serpan Laut, Perkukuh Kesedaran Kesihatan Komuniti
ASAJAYA: Program Jelajah Amal Ramadan Kota Samarahan bukan sahaja mengimarahkan bulan Ramadan, malah menjadi platform penting dalam memperkukuh kesedaran masyarakat terhadap aspek kesihatan, kebersihan dan kebajikan komuniti setempat.
Timbalan Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah merangkap Ahli Parlimen Kota Samarahan, Datuk Rubiah Wang berkata semangat kerjasama masyarakat dalam menjaga kebersihan persekitaran amat penting bagi membendung penularan wabak penyakit seperti denggi.
Beliau berkata demikian ketika menghadiri Program Jelajah Amal Ramadan Kota Samarahan yang berlangsung di Masjid Kampung Serpan Laut di sini, hari ini.
Terdahulu, penduduk Kampung Serpan Laut telah melaksanakan aktiviti gotong-royong perdana pada awal pagi sebagai langkah proaktif selepas terdapat laporan kes denggi di kawasan tersebut.
Menurut beliau, usaha yang digerakkan oleh penduduk kampung itu mencerminkan kesedaran tinggi masyarakat terhadap kepentingan menjaga kesihatan dan kebersihan persekitaran.
Datuk Rubiah turut menegaskan bahawa bulan Ramadan bukan sekadar bulan untuk meningkatkan ibadah, malah merupakan waktu terbaik untuk memperbanyakkan amal kebajikan termasuk bersedekah serta membantu golongan memerlukan.
Pada masa sama, beliau menjelaskan bahawa tradisi penyediaan dan pengagihan bubur lambuk serta bubur pedas melalui program jerayawara seperti ini turut mencerminkan semangat perpaduan dan budaya masyarakat yang harus terus dipelihara.
Dalam pada itu, beliau turut menyentuh cabaran ekonomi semasa apabila konflik perang di Timur Tengah memberi kesan rantaian kepada Malaysia termasuk peningkatan kos barangan keperluan serta ketidaktentuan harga minyak dunia.
Beliau juga memaklumkan bahawa tiada penganjuran majlis rumah terbuka secara besar-besaran pada tahun ini selaras dengan arahan Perdana Menteri.
Namun begitu, beliau tetap mengalu-alukan kehadiran warga Asajaya yang ingin berkunjung secara santai bagi mengeratkan silaturahim dan memaklumkan bahawa pintu rumah beliau di Desa Ilmu, Samarahan sentiasa terbuka sekiranya ada warga Asajaya yang ingin datang berziarah.
Program tersebut diakhiri dengan simbolik pengagihan bubur lambuk kepada para jemaah dan penduduk setempat.
Turut hadir Penghulu Kampung Serpan Laut Jet Ain, Ketua Kampung Serpan Laut Samayaku Bogok, Ketua Wanita PBB Asajaya Mahani serta barisan kepimpinan kampung, wakil JKKK dan pimpinan sayap Wanita serta Pemuda PBB Asajaya. - EDISI UKAS