Dato Sri Julaihi Salur Sumbangan, Lulus Peruntukan Baik Pulih Bangunan PNKS
SEBUYAU: Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak Dato Sri Julaihi Narawi terus menzahirkan komitmen terhadap kebajikan komuniti nelayan apabila menyampaikan pelbagai sumbangan serta meluluskan peruntukan bagi menyokong pembangunan Persatuan Nelayan Kawasan Sebuyau (PNKS).
Menurut beliau, dana berkenaan merupakan peruntukan di bawah Projek Transformasi Luar Bandar (RTP) tahun 2027 berjumlah RM200,000 bagi kerja-kerja membaik pulih bangunan PNKS, selain menyalurkan peruntukan Projek Kecil Luar Bandar (MRP) tahun 2026 sebanyak RM50,000 bagi menyokong pelaksanaan aktiviti tahunan persatuan berkenaan.
Pada masa sama, beliau turut menyampaikan sumbangan kepada 67 penerima daripada golongan asnaf sebagai usaha membantu meringankan beban golongan yang memerlukan di kawasan Sebuyau.
Turut menerima bantuan ialah dua orang pelajar yang diberikan bantuan pelajaran anak bagi menyokong keperluan pendidikan mereka.
Sumbangan berkenaan diluluskan sempena Mesyuarat Agung Tahunan Kali Ke-46 PNKS yang berlangsung di Dewan PNKS Sebuyau, pada Sabtu.
Mengulas mengenai program, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sebuyau itu menjelaskan ianya menjadi platform penting bagi ahli persatuan membincangkan perkembangan semasa industri perikanan, di samping menilai pencapaian persatuan sepanjang tahun lalu serta merangka pelbagai inisiatif bagi meningkatkan kesejahteraan nelayan tempatan.
Sementara itu, Pengerusi PNKS, Kaderi Abang Raup dalam maklumannya berkata mesyuarat tersebut juga bertujuan mengukuhkan kerjasama antara persatuan, agensi kerajaan dan komuniti nelayan dalam usaha memperkasakan sektor perikanan di kawasan Sebuyau.
Menurut beliau, sehingga tahun ini seramai 936 orang telah berdaftar sebagai ahli PNKS yang terdiri daripada komuniti nelayan di Kampung Sebuyau, Kampung Tebelu, Kampung Maludam, Kampung Sungai Ladong dan Kampung Sebangan.
Hadir sama, Pegawai Daerah Sebuyau Ayuradiman Bujang, Pegawai Wilayah Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) Betong Nurhaizawati Samsimon dan Pengurus Besar PNKS Masli Bojeng. -EDISI UKAS