BINTULU: Ibu bapa disaran memainkan peranan aktif dalam memantau perkembangan serta pendidikan anak-anak bagi memastikan mereka membesar dengan sahsiah yang baik dan mencapai kecemerlangan dalam pelajaran.
Timbalan Menteri Infrastruktur dan Pembangunan Pelabuhan Sarawak merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Samalaju, Datuk Majang Renggi berkata asas pendidikan sebenarnya bermula dari rumah dan ibu bapa merupakan guru pertama dalam kehidupan anak-anak.
Menurutnya, nilai seperti disiplin, hormat-menghormati dan tanggungjawab perlu dipupuk sejak awal melalui didikan serta contoh yang baik daripada ibu bapa.
“Jika kita mahu anak-anak berada di hadapan, ibu bapa juga perlu berada di belakang mereka sebagai penyokong utama dan paling kuat,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis penutupan Ceramah Keibubapaan sempena Mesyuarat Agung Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) Ke-29 Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kidurong di Dewan Suarah Bintulu, pada Sabtu.
Dalam pada itu, Majang berkata ibu bapa juga perlu memantau penggunaan teknologi dalam kalangan anak-anak agar mereka menggunakan internet serta peranti digital secara berhemah.
“Ibu bapa perlu memastikan anak-anak menggunakan internet dan peranti digital dengan bijak, mengelakkan pendedahan kepada kandungan yang tidak sesuai serta menetapkan had masa penggunaan teknologi,” katanya.
Tambahnya, kerjasama erat antara pihak sekolah, Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) serta alumni juga penting dalam memperkukuh ekosistem pendidikan melalui perkongsian kepakaran, pengalaman dan sokongan kepada pembangunan sekolah.
Beliau berkata, kerajaan Sarawak komited memperkasakan sektor pendidikan melalui pelbagai inisiatif termasuk Sarawak Education Enhancement Programme (SEEP) bagi membantu pelajar meningkatkan pencapaian akademik.
Menurutnya, kerajaan negeri turut memperkenalkan Skim Pendidikan Tinggi Percuma di institusi pengajian tinggi milik kerajaan Sarawak bermula tahun ini bagi memberi peluang lebih luas kepada anak-anak Sarawak melanjutkan pengajian tanpa dibebani kos pendidikan.-EDISI UKAS