Kerajaan Sentiasa Cari Mekanisme Terbaik Ringankan Beban Rakyat
ASAJAYA: Kerajaan akan sentiasa berusaha mencari mekanisme terbaik bagi membantu meringankan beban rakyat berdepan peningkatan kos sara hidup serta ketidaktentuan ekonomi global ketika ini.
Timbalan Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah, Datuk Rubiah Wang berkata, kenaikan harga minyak dan barangan yang berlaku ketika ini turut dipengaruhi oleh faktor luaran termasuk konflik geopolitik di Timur Tengah yang memberi kesan kepada pasaran global.
Menurut beliau, kerajaan sentiasa peka terhadap cabaran tersebut dan terus mengambil pelbagai langkah bagi memastikan kesejahteraan rakyat sentiasa terpelihara.
Beliau berkata demikian ketika menghadiri Program Jelajah Amal Ramadan Kota Samarahan yang diadakan di Kampung Asajaya Tengah, di sini, pada Sabtu.
Pada majlis tersebut, Datuk Rubiah yang juga Ahli Parlimen Kota Samarahan turut meluluskan geran berjumlah RM10,000 kepada Surau Darul Taqwa Kampung Asajaya Tengah bagi menyokong aktiviti pengimarahan sepanjang bulan Ramadan.
Dalam ucapannya, beliau turut menzahirkan penghargaan terhadap masyarakat setempat yang terus mengekalkan amalan bersedekah, termasuk melalui penyediaan dan pengagihan bubur lambuk serta bubur pedas kepada penduduk dan golongan yang berpuasa.
Katanya, amalan berkongsi rezeki tersebut mencerminkan semangat kebersamaan dan keharmonian komuniti yang perlu terus dipupuk dalam kalangan masyarakat.
Terdahulu, program dimulakan dengan aktiviti ziarah kebajikan oleh beliau ke kediaman salah seorang penduduk kampung bagi menyampaikan sumbangan peribadi.
Datuk Rubiah kemudiannya diiringi kepimpinan kampung meninjau tapak projek pembinaan jambatan serta memantau kerja-kerja penambahbaikan di Surau Darul Taqwa bagi memastikan kemudahan awam berada dalam keadaan baik dan selesa digunakan oleh penduduk setempat.
Program tersebut diakhiri dengan penyerahan bubur lambuk secara simbolik kepada penduduk kampung sebagai tanda kebersamaan dalam menyemarakkan bulan Ramadan.
Turut hadir, Ketua Kampung Asajaya Tengah Zamahari Jonen, Pengerusi Surau Darul Taqwa Mohd Zaqaria Sopeng, Ketua Wanita Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Asajaya Mahani Sahari, Ketua Wanita PBB Ranting Asajaya Tengah Selayah Bujang dan Ketua Pemuda PBB Asajaya Tengah Abdul Nazif Pawi. -EDISI UKAS