Peruntukan RM200,000 Diluluskan, Naik Taraf Jalan Kampung Sungai Ladong
SEBUYAU: Kerajaan Sarawak telah meluluskan peruntukan berjumlah RM200,000 bagi menaik taraf jalan di Kampung Sungai Ladong sebagai usaha meningkatkan kemudahan infrastruktur untuk penduduk setempat.
Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak, Dato Sri Julaihi Narawi berkata, kini pengunjung ataupun penduduk kampung mempunyai akses jalan perhubungan yang lebih selamat berbanding dahulu.
“Kini perhubungan sungai tidak digunakan lagi kerana kita mempunyai jalan raya kerana kalau kita lihat dahulu, Kampung Sungai Ladong merupakan antara kawasan yang susah untuk diakses memandangkan kita terpaksa menyeberangi Laut China Selatan dari Sadong Jaya menggunakan bot,” ujar beliau.
Beliau berkata demikian semasa berucap dalam Program Ziarah Ramadan, di sini, pada Sabtu.
Dalam perkembangan lain, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sebuyau itu turut menekankan kepentingan nilai kebersamaan dan semangat saling membantu dalam kalangan masyarakat, khususnya dalam bulan Ramadan yang penuh keberkatan.
Menurut beliau, program berbentuk kebajikan dan tanggungjawab sosial seperti ini bukan sahaja dapat membantu golongan memerlukan, malah mampu mengeratkan lagi hubungan antara pemimpin dan masyarakat di peringkat akar umbi.
Turut hadir Timbalan Setiausaha Tetap Kementerian Utiliti dan Telekomunikasi (MUTS) Syed Mohamad Fauzi Shahab, Ketua Pegawai Eksekutif SACOFA Sdn Bhd Jafer Sadig Abdul Lathiff, wakil Residen Bahagian Samarahan Anuar Daan serta Pegawai Daerah Sebuyau Ayuradiman Bujang. -EDISI UKAS