Dr Sim Gesa SUPP Bawang Assan Dampingi Generasi Muda
SIBU: Ahli Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) cawangan Bawang Assan digesa untuk terus teguh berkhidmat kepada rakyat serta sentiasa peka terhadap keperluan komuniti setempat khususnya generasi muda.
Presidennya, Datuk Amar Profesor Dr Sim Kui Hian turut menggalakkan pasukan itu untuk aktif mendengar idea dan perspektif generasi muda di Sibu, termasuk pemikiran kreatif yang mampu menyumbang kepada pembangunan ekonomi dan infrastruktur tempatan.
“Saya ingin mengingatkan kepada semua ahli SUPP Bawang Assan untuk kekal komited dalam menyampaikan perkhidmatan kepada rakyat.
“Dedikasi sedemikian bukan sekadar usaha untuk pembangunan hari ini, malah untuk memastikan generasi akan datang dapat menikmati Sarawak yang lebih baik pada masa hadapan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menghadiri sesi perkhidmatan bergerak SUPP Cawangan Bawang Assan yang diadakan di Kedai Kopi Yalin, di sini pada Sabtu.
Dalam kunjungan tersebut, beliau sempat menyapa dan berinteraksi dengan orang awam yang sedang bersarapan di kedai kopi berkenaan.
Sementara itu, Pengerusi SUPP Cawangan Bawang Assan Kaunselor Kevin Lau, berkata kehadiran semula mereka ke Kedai Kopi Yalin bagi menjalankan perkhidmatan bergerak adalah untuk memudahkan penduduk mendekati pasukan itu bagi mendapatkan bantuan.
"Membawa perkhidmatan terus ke dalam komuniti memudahkan penduduk untuk datang kepada kita setiap kali mereka menghadapi masalah," katanya. - EDISI UKAS