Projek Jalan Pintas Kampung Bruit Percepat Akses Ke Daro Dan Tanjung Manis
PULAU BRUIT: Projek pembinaan jalan pintas bernilai RM103.9 juta yang bakal menghubungkan Kampung Bruit dengan Sungai Nai dijangka memberi manfaat besar kepada penduduk apabila ia siap kelak.
Ahli Parlimen Tanjong Manis, Dato Ir Yusuf Abd. Wahab berkata, projek yang akan ditender pada suku kedua tahun ini bakal membuka laluan baharu yang lebih cepat dan selesa bagi memudahkan pergerakan penduduk ke Daro dan Tanjung Manis.
Menurut beliau, sebelum ini penduduk Kampung Bruit terpaksa melalui perjalanan yang jauh dengan menggunakan jalan ladang sebelum dapat mengakses jalan utama.
Katanya, pembinaan jalan baharu itu dijangka menjadi penyelesaian kepada kesukaran tersebut selain meningkatkan tahap perhubungan di kawasan berkenaan.
“Projek ini melibatkan pembinaan jalan berturap sepanjang kira-kira 15.7 kilometer dengan lebar enam meter mengikut spesifikasi Jalan Raya Jabatan Kerja Raya (JKR) R1, selain pembinaan sebuah jambatan konkrit bagi melengkapkan laluan berkenaan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Tahlil Perdana bersama rakyat yang diadakan di Masjid Kampung Bruit, di sini pada Jumaat.
Dato Ir Yusuf menjelaskan bahawa laluan sepanjang kira-kira 16 kilometer itu akan menghubungkan Kampung Bruit secara terus ke Sungai Nai berhampiran pangkalan feri lama.
Menurutnya, apabila projek itu siap, penduduk Kampung Bruit akan menikmati akses perhubungan yang lebih mudah bukan sahaja ke Daro dan Tanjung Manis, malah ke Sarikei serta kawasan berhampiran.
Dalam pada itu, beliau berkata beberapa projek pembangunan lain turut dilaksanakan di kampung berkenaan termasuk menaik taraf dewan kampung bernilai RM300,000 serta penambahbaikan prasarana Masjid Kampung Bruit dengan kos RM200,000 bagi meningkatkan kemudahan kepada penduduk setempat. - EDISI UKAS