PIBG, Sekolah Perlu Terus Bekerjasama Demi Kecemerlangan Murid
MIRI: Kerjasama erat antara pihak sekolah dan ibu bapa amat penting dalam memastikan perkembangan akademik serta sahsiah murid dapat diperkukuhkan secara menyeluruh.
Menteri Pengangkutan Sarawak Dato Sri Lee Kim Shin, berkata kejayaan sesebuah sekolah bukan hanya bergantung kepada usaha guru semata-mata, sebaliknya turut memerlukan sokongan serta penglibatan aktif ibu bapa melalui Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG).
Menurutnya, PIBG bukan sekadar menjadi badan penghubung antara ibu bapa dan pihak sekolah, malah merupakan rakan strategik yang memainkan peranan penting dalam menyokong pelbagai program dan inisiatif sekolah.
“Kerjasama yang erat antara ibu bapa dan pihak sekolah mampu mewujudkan persekitaran pembelajaran yang lebih kondusif serta membantu perkembangan murid secara menyeluruh dari segi jasmani, emosi, rohani dan intelek,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan Mesyuarat Agung PIBG Sekolah Kebangsaan St Joseph Miri bagi tahun 2026 pada Sabtu.
Dato Sri Lee turut menyeru ibu bapa supaya terus memberi sokongan kepada setiap program yang dianjurkan oleh pihak sekolah sama ada melalui sokongan moral mahupun sumbangan yang mampu diberikan.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Senadin itu menambah, PIBG juga boleh memainkan peranan penting dalam membantu pihak sekolah membiayai penyertaan murid dalam pertandingan di peringkat lebih tinggi termasuk dalam bidang akademik, sukan dan kokurikulum.
Pada majlis sama, Dato Sri Lee menyerahkan geran tahunan sebanyak RM10,000 bagi menyokong aktiviti tahunan yang dianjurkan oleh PIBG dan pihak sekolah. -EDISI UKAS