Sumbangan Aidilfitri Ringankan Beban 30 Penduduk Lima Kampung
SIMUNJAN: Usaha membantu golongan memerlukan perlu terus diperkasakan agar mereka dapat membuat persiapan menyambut Hari Raya Aidilfitri dengan lebih sempurna.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Simunjan, Awla Dris berkata, bantuan yang disalurkan bukan sahaja sebagai tanda keprihatinan, malah bagi memastikan golongan yang memerlukan tidak terpinggir menjelang musim perayaan.
“Kita memilih 30 penerima daripada lima buah kampung di kawasan Sageng dengan memberi keutamaan kepada mereka yang benar-benar memerlukan supaya sumbangan ini dapat dimanfaatkan sebagai persiapan menyambut Hari Raya,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa menyempurnakan Program Sumbangan Aidilfitri dan Agihan Bubur Lambuk di Surau Madrasatul Hidayah, Kampung Sageng Hulu, pada Sabtu.
Seramai 30 penduduk daripada Kampung Sageng Hulu, Kampung Sageng Tengah, Kampung Sageng Baru, Kampung Sageng Hilir dan Kampung Sageng Sabal telah dipilih sebagai penerima sumbangan.
Setiap penerima menerima sumbangan berupa kek dan biskut raya serta duit raya sebanyak RM150 seorang bagi membantu membuat persiapan menjelang Aidilfitri.
Selain itu, program tersebut turut diserikan dengan agihan 200 pek bubur lambuk kepada penduduk setempat hasil kerjasama Pusat Khidmat DUN N.25 Simunjan bersama Pejabat Agama Islam Bahagian Samarahan (JAIS).
Dalam pada itu, Awla turut merakamkan penghargaan kepada pihak pengurusan surau serta penduduk kampung atas kerjasama yang diberikan dalam menjayakan program kebajikan tersebut.-EDISI UKAS