Peruntukan RM200,000 Diluluskan, Bina Jalan Kampung Seruyuk
SEBUYAU: Penduduk Kampung Seruyuk bakal menikmati kemudahan infrastruktur yang lebih baik apabila Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri Sebuyau, Dato Sri Julaihi Narawi mengumumkan kelulusan peruntukan sebanyak RM200,000 bagi pembinaan jalan di kampung tersebut.
Pengumuman itu dibuat ketika beliau merasmikan Program Ziarah Ramadan anjuran Kementerian Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak (MUT) bersama SACOFA Sdn. Bhd. dan Pejabat Daerah Sebuyau yang berlangsung di Masjid Nur Hidayah Kampung Seruyuk pada Sabtu.
Menurut beliau, peruntukan tersebut dijangka memberi manfaat kepada penduduk setempat dengan meningkatkan kemudahan infrastruktur sekali gus memudahkan pergerakan harian masyarakat kampung.
Dalam masa yang sama, program berkenaan turut menyantuni masyarakat setempat melalui penyampaian sumbangan bakul makanan dan wang tunai kepada 60 penerima asnaf bagi membantu meringankan beban mereka menjelang sambutan Hari Raya Aidilfitri.
Selain itu, 40 kanak-kanak turut menerima sumbangan duit raya bagi memeriahkan lagi suasana Ramadan dalam kalangan komuniti setempat.
Program tersebut turut menjadi platform bagi mengeratkan hubungan antara pemimpin dan masyarakat apabila Dato Sri Julaihi meluangkan masa beramah mesra serta bertanya khabar dengan penduduk kampung.
Penganjuran program ini turut memperlihatkan komitmen berterusan kerajaan negeri bersama agensi berkaitan dalam memperkukuh kesejahteraan sosial masyarakat di samping mengimarahkan bulan Ramadan dengan aktiviti kebajikan dan kemasyarakatan.
Turut hadir Timbalan Setiausaha Tetap Kementerian Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak, Syed Mohamad Fauzi Shahab, Ketua Pegawai Eksekutif SACOFA Sdn. Bhd. Jafer Sadig Abdul Lathiff, wakil Residen Bahagian Samarahan Anuar Daan, Pegawai Daerah Sebuyau Ayuradiman Bujang serta Ketua Masyarakat Kampung Seruyuk Umar Ismail.-EDISI UKAS