RM300,000 Diperuntukkan Bagi Naik Taraf Jalan Kampung Seruyuk
SEBUYAU: Kerajaan Sarawak meluluskan peruntukan sebanyak RM300,000 di bawah Program Transformasi Luar Bandar (RTP) bagi kerja-kerja naik taraf jalan di Kampung Seruyuk.
Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak, Dato Sri Julaihi Narawi berkata, projek ini akan memberi manfaat langsung kepada penduduk setempat melalui peningkatan kemudahan infrastruktur asas di kawasan berkenaan.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan Program Ziarah Ramadan anjuran Kementerian Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak (MUT) dengan kerjasama SACOFA serta Pejabat Daerah Sebuyau yang berlangsung di Masjid Nur Hidayah Kampung Seruyuk, di sini, pada Sabtu.
Dalam majlis sama, beliau turut menyampaikan sumbangan bakul makanan dan wang tunai kepada 60 penerima asnaf sebagai usaha membantu meringankan beban golongan memerlukan menjelang sambutan Hari Raya Aidilfitri.
Selain itu, seramai 40 kanak-kanak turut menerima sumbangan duit raya bagi memeriahkan lagi sambutan Ramadan dalam kalangan komuniti setempat.
Program berkenaan turut diisi dengan bacaan doa, sesi fotografi bersama komuniti serta aktiviti kemasyarakatan yang mencerminkan semangat kebersamaan dan keprihatinan terhadap golongan memerlukan.
Turut hadir Timbalan Setiausaha Tetap MUTS Syed Mohamad Fauzi Shahab, Ketua Pegawai Eksekutif SACOFA Sdn Bhd Jafer Sadig Abdul Lathiff, wakil Residen Bahagian Samarahan Anuar Daan, Pegawai Daerah Sebuyau Ayuradiman Bujang, serta Ketua Masyarakat Kampung Seruyuk Umar Ismail. -EDISI UKAS