Amalkan Berjimat Cermat Hadapi Ketidaktentuan Ekonomi Global
PULAU BRUIT: Orang ramai disaran menerapkan amalan berjimat cermat dalam perbelanjaan harian sebagai langkah bijak menghadapi ketidaktentuan ekonomi global ketika ini.
Ahli Parlimen Tanjong Manis, Dato Ir Yusuf Abd Wahab berkata, masyarakat tidak perlu panik dengan kemungkinan kenaikan harga barangan, sebaliknya mengurus kewangan secara lebih berhemah.
Menurut beliau, perkembangan konflik di Timur Tengah khususnya melibatkan Iran dan Israel berpotensi memberi kesan kepada bekalan serta harga minyak dunia.
Katanya, situasi tersebut boleh mengganggu laluan perdagangan laut serta menjejaskan pergerakan kapal tangki minyak, sekali gus memberi tekanan kepada pasaran tenaga global.
“Baru-baru ini harga minyak dunia dilaporkan telah melepasi paras AS$100 setong dan sekiranya keadaan ini berterusan, harga tersebut berkemungkinan meningkat lagi dalam masa terdekat,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Tahlil Perdana bersama rakyat yang diadakan di Masjid Kampung Bruit, di sini semalam.
Sehubungan itu, beliau berkata kerajaan mengambil langkah awal dengan menasihatkan pelbagai pihak supaya mengehadkan penganjuran majlis berskala besar.
Menurutnya, langkah tersebut termasuk mengurangkan program rumah terbuka sempena Hari Raya Aidilfitri yang lazimnya dianjurkan secara besar-besaran oleh kementerian dan agensi kerajaan.
Katanya, pendekatan itu bertujuan mengawal perbelanjaan serta memastikan kewangan kerajaan dapat diurus dengan lebih berhemah dalam menghadapi ketidaktentuan ekonomi semasa.
Tambah beliau, ahli-ahli Parlimen juga digalakkan menganjurkan majlis ramah tamah secara sederhana tanpa menjejaskan usaha mendekati masyarakat setempat.
“Yang penting kita terus menyantuni rakyat di kampung. Jika ada majlis ramah tamah nanti, kita akan buat secara ringkas dan sederhana tetapi hubungan dengan masyarakat tetap diteruskan,” ujarnya.
Dalam perkembangan lain, beliau memaklumkan tradisi pemberian buah tangan kepada penduduk di kawasan Parlimen Tanjong Manis akan diteruskan tahun ini dengan pengagihan kira-kira 7,000 paket kepada penduduk kampung di kawasan berkenaan.
Pada masa sama, Yusuf turut menyeru umat Islam agar memanfaatkan baki hari-hari terakhir bulan Ramadan dengan memperbanyakkan amalan ibadah di samping merebut kelebihan malam Lailatulqadar. - EDISI UKAS