Pengalaman Berbuka Puasa Beramai-ramai Tarik Orang Ramai Sertai Juh Berambeh Sungkey @ Kuching 2026
KUCHING: Padang Merdeka dipenuhi orang ramai apabila program Juh Berambeh Sungkey @ Kuching 2026 berlangsung meriah dengan kehadiran masyarakat pelbagai kaum yang bersama-sama berkumpul bagi menikmati suasana berbuka puasa secara beramai-ramai.
Program Juh Berambeh Sungkei @ Kuching 2026 yang dianjurkan oleh Kelab Belia Prihatin Bandar Kuching dengan sokongan Kementerian Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak bukan sahaja menjadi platform berbuka puasa bersama keluarga dan rakan-rakan, malah turut mengeratkan hubungan silaturahim dalam kalangan masyarakat di bandar raya Kuching sempena bulan Ramadan.
Majlis tersebut turut diserikan dengan kehadiran Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah, sebagai tetamu kehormat.
Tinjauan di lokasi mendapati orang ramai mula hadir seawal jam 3 petang dengan membawa juadah masing-masing sambil mengambil peluang menikmati suasana santai berbuka puasa di kawasan terbuka yang ikonik itu.
Seorang pengunjung, Nora Simin, 59, dari Kampung Tabuan berkata, beliau bersama keluarganya pertama kali menyertai program tersebut dan menyifatkannya sebagai platform yang baik untuk masyarakat berkumpul sempena Ramadan.
“Program seperti ini sangat bagus kerana ia memberi peluang kepada kami berkumpul bersama keluarga serta bergaul dengan masyarakat lain,” katanya ketika ditemui di lokasi program.
Sementara itu, Abdul Rahman Alif, 18, dari Kampung Tabuan Melayu berkata, beliau hadir bersama rakan-rakan untuk merasai pengalaman berbuka puasa secara beramai-ramai.
Menurutnya, suasana berbuka puasa secara terbuka bersama orang ramai memberikan pengalaman yang berbeza berbanding berbuka puasa di tempat lain.
“Ini kali pertama saya datang dan suasananya memang berbeza kerana dapat berkumpul serta berbuka puasa bersama ramai orang,” katanya.
Dalam pada itu, Kusyaini Mahyan dari Lundu berkata, beliau telah menyertai program tersebut sebanyak tiga kali dan sentiasa menantikan penganjurannya setiap tahun.
Menurutnya, program seperti itu memberi peluang kepada peserta berkumpul serta menikmati suasana Ramadan bersama rakan-rakan dalam suasana santai.
Rakannya, Ahmad Baseri Kadir pula menyifatkan kawasan Padang Merdeka yang luas dan terbuka menjadikan lokasi tersebut sesuai untuk menghimpunkan orang ramai bagi acara seumpama itu.
Beliau turut berharap program seumpama itu dapat diteruskan pada masa hadapan kerana ia mampu menyatukan masyarakat dalam suasana harmoni sepanjang bulan Ramadan.-EDISI UKAS
Wartawan: Lonney Jinab & Ezzah Syafiqah
Jurugambar: Lonney Jinab & George S. Embie