Program Juh Berambeh Sungkey Di Padang Merdeka Tarik Ribuan Pengunjung
KUCHING: Suasana penuh kemeriahan dan kebersamaan jelas dirasai apabila ribuan pengunjung daripada pelbagai lapisan masyarakat serta latar belakang kaum berkumpul di Padang Merdeka bagi memeriahkan Program Juh Berambeh Sungkey yang kini memasuki tahun keempat penganjurannya.
Program berbuka puasa secara terbuka itu bukan sahaja menjadi medan umat Islam berbuka puasa, malah turut menarik kehadiran masyarakat daripada pelbagai kaum yang hadir untuk merasai suasana Ramadan serta mengeratkan hubungan silaturahim.
Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan merangkap Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, sambutan yang diterima menunjukkan peningkatan ketara dari tahun ke tahun.
“Tahun lepas memang ramai, saya dapat melihat daripada tahun pertama jumlahnya makin ramai-makin ramai dan ia bukan saja melibatkan mereka yang nak berbuka puasa tapi juga melibatkan ramai mereka daripada suku kaum-suku kaum yang lain,” katanya kepada media ketika ditemui pada program berkenaan pada Sabtu.
Menurut beliau, berdasarkan rekod tahun lalu yang mencatatkan kehadiran kira-kira 5,000 pengunjung, jumlah kehadiran pada tahun ini dijangka berada pada tahap yang sama memandangkan keadaan cuaca yang sangat baik.
Beliau turut memaklumkan bahawa penganjuran program tersebut dijangka diteruskan pada tahun hadapan dengan skala yang lebih meriah, terutama memandangkan sambutan Hari Raya Aidilfitri dijangka berlangsung hampir serentak dengan Tahun Baharu Cina.
Pada masa sama, beliau merakamkan penghargaan kepada semua pihak yang terlibat dalam menjayakan program tersebut termasuk agensi kerajaan serta pasukan keselamatan seperti Dewan Bandaraya Kuching Utara (DBKU) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM).
“InsyaAllah untuk tahun depan ia akan diadakan. Saya rasa lebih meriah lagi.
“Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada semua pengunjung serta agensi yang bekerjasama dalam menjayakan program ini,” katanya.
Antara aktiviti yang diadakan sepanjang program berkenaan termasuk simbolik pengagihan bubur lambuk, penyampaian sumbangan kepada golongan asnaf, cabutan bertuah serta tayangan montaj.
Turut berlangsung penyampaian hadiah kepada pemenang Pertandingan Glamping Terbaik dan Pertandingan Belia Kreatif Ramadan, penyampaian cenderamata kepada tetamu kehormat, simbolik acara bertuntung serta persembahan nasyid oleh kumpulan Rabbani.
Program Juh Berambeh Sungkei @ Kuching 2026 yang dianjurkan
oleh Kelab Belia Prihatin Bandar Kuching dengan sokongan Kementerian Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak.-EDISI UKAS
Wartawan : Ezzah Syafiqah
Jurugambar : Ezzah Syafiqah, George S. Embie