Kelapa Sawit ‘Emas Hijau’, Ubah Nasib Pekebun Rumah Panjang Di Sibuti
Umpama ‘emas hijau’. Begitulah gambaran yang sering diungkapkan oleh pekebun kecil kelapa sawit mengenai tanaman tersebut yang dilihat mampu mengubah taraf hidup mereka, khususnya bagi pengusaha di rumah-rumah panjang sekitar Sibuti, Miri.
Pada hari keenam, Kembara UKAS 2026 mengambil peluang menyingkap sendiri kisah di sebalik usaha gigih penduduk Rumah Belang Sadang, Sungai Merah, Sibuti yang telah mengusahakan tanaman kelapa sawit sejak hampir 30 tahun lalu, satu perjalanan panjang yang sarat dengan pengalaman dan inspirasi.
Salah seorang penduduk 32 pintu rumah panjang tersebut, Addu Saleh, 61, ketika ditemui, tidak keberatan berkongsi kisah beliau menceburi perusahaan kelapa sawit yang kini menjadi sumber rezeki utama keluarganya.
“Kami di sini telah mula mengusahakan penanaman kelapa sawit sekitar 20 atau 30 tahun yang lepas.
“Pada mulanya, kita mendapat subsidi seperti baja dan anak pokok kelapa sawit.
"Hampir semua penduduk mula menanam sawit ketika itu selain tanaman lain seperti getah, koko dan lada,” katanya.
Addu Salleh
Ujarnya, pada masa ini di tempat beliau, buah sawit segar dijual kira-kira RM850 setan dan paling rendah sekitar RM600 setan, satu jumlah yang mampu mengubah taraf hidup keluarga di rumah panjang.
Malah ujarnya, harga tersebut pernah mencecah RM1,000 untuk setan pada suatu ketika.
"Dulu saya pernah membuat keputusan menebang semua pokok buah-buahan untuk menanam kelapa sawit.
"Bagi saya itu keputusan yang tepat demi masa depan," tambahnya sambil berseloroh bahawa kebun kelapa sawitnya kini seperti 'ATM'.
Menceritakan dengan lebih lanjut, beliau kini telah menanam 3,000 pohon kelapa sawit.
Ujarnya, beliau dibantu oleh dua orang pekerja yang diupah mengikut jumlah tan buah kelapa sawit yang dituai.
"Kerja-kerja yang diberikan juga termasuk membaja dan meracun rumput.
"Apa yang penting bagi saya ialah kejujuran.
"Saya akan memastikan pekerja saya turut dimaklumkan dengan jumlah kelapa sawit yang dituai sebab upah yang diberikan adalah berdasarkan jumlah tersebut.
"Jadi, pekerja saya hingga kini masih bertahan kerana bagi saya mereka juga perlu tahu jumlah sebenar buah kelapa sawit yang dituai," ujarnya berkongsi 'tips' mengekalkan pekerja yang mana ada segelintir pekebun kehilangan atau kekurangan pekerja.
Jelasnya, tenaga pekerja menjadi nadi penting untuk berjaya sebagai pekebun kelapa sawit kerana tidak ramai generasi pada hari ini terutamanya orang tempatan yang sanggup mengambil upah untuk bekerja di kebun kelapa sawit.
Selain itu, Addu berkata, kelapa sawit yang mengeluarkan hasil yang banyak atau produktif turut berdasarkan pengurusan yang bijak.
"Selain pekerja, kita juga menekankan kepentingan untuk menjaga kelapa sawit dengan baik dan betul.
"Ini termasuk merangkumi faktor baja yang begitu penting dalam menghasilkan kelapa sawit yang produktif dan berkualiti.
"Jumlah pohon yang banyak tidak menjamin kebun itu berjaya kerana jika pengurusan yang tidak betul perusahaan kebun kelapa sawit tidak akan berjaya," katanya.
Dalam pada itu, Addu juga pernah mengalami detik sukar apabila sebahagian daripada kebunnya dilanda banjir menyebabkan buah tidak dapat dituai hampir dua bulan.
Namun ujarnya, kejadian itu tidak pernah melunturkan semangat beliau untuk meneruskan usaha dalam industri kelapa sawit.
Kembara UKAS 2026 turut tertarik dengan usaha gigih seorang gadis berusia 18 tahun dari rumah panjang yang sama membantu bapa saudaranya mengusahakan sawit.
Joanna Revalina
Joanna Revalina ketika ditemui sedang membawa keluar buah kelapa sawit menggunakan pacuan empat roda dari kebun milik bapa saudaranya.
"Saya hanya membantu bapa saudara membawa keluar buah kelapa sawit yang telah dituai," ujarnya ringkas yang tampak penuh pengalaman menggendalikan kenderaan sarat muatan melalui jalan kebun yang mencabar. - DEMI RAKYAT