ADUN Simunjan Santuni Penduduk Zon 4, Sumbang Bakul Makanan Sempena Ramadan
SADONG JAYA: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Simunjan, Awla Dris terus komited dalam menyantuni kebajikan rakyat apabila menyempurnakan simbolik penyerahan bakul makanan kepada penduduk di kawasan Zon 4 pada Sabtu.
Majlis yang berlangsung di Surau Sinar Islam itu diadakan bagi membantu meringankan beban kewangan keluarga yang memerlukan sebagai persediaan menyambut sambutan Hari Raya Aidilfitri yang bakal menjelang tidak lama lagi.
Dalam program tersebut, seramai 30 orang penerima daripada tiga buah kampung iaitu Kampung Sungai Putin, Kampung Rangawan dan Kampung Terasi telah dipilih untuk menerima sumbangan berkenaan.
Menurut beliau, sumbangan tersebut merupakan salah satu inisiatif bagi membantu penduduk menghadapi cabaran ekonomi semasa, khususnya ketika berdepan dengan peningkatan harga barangan keperluan harian ketika ini.
“Sumbangan ini mungkin tidak seberapa, namun diharapkan dapat membantu meringankan beban anak-anak dan keluarga. Maklumlah pada musim ini harga barangan semakin meningkat,” katanya ketika berucap dalam majlis tersebut.
Dalam pada itu, beliau turut merakamkan penghargaan kepada Pengerusi Surau Sinar Islam serta seluruh jawatankuasa surau atas kerjasama menyediakan premis bagi menjayakan program agihan berkenaan.-EDISI UKAS