SEBAUH: Semua ahli Parti Demokratik Progresif (PDP) diseru agar terus mengekalkan kejujuran, keikhlasan dan semangat perpaduan bagi memastikan PDP kekal kukuh serta dihormati oleh parti-parti lain.
Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya merangkap Presiden PDP Dato Sri Tiong King Sing berkata, setiap ahli perlu menjalankan tanggungjawab dengan penuh keikhlasan dan tidak menjadikan penyertaan dalam parti sebagai platform untuk kepentingan peribadi.
“Kita sebagai ahli dalam parti ini mestilah jujur dan menjalankan tugas dengan ikhlas kepada sesama ahli parti dan juga orang awam. Janganlah kita masuk menjadi ahli parti demi kepentingan diri sendiri,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Mesyuarat Agung Tri-Tahunan Parti Demokratik Progresif (PDP) Bahagian N.69 Kemena yang berlangsung di Rh. Agnes Mampak, Sebauh, pada Sabtu.
Menurut beliau, kejujuran dan kerjasama erat dalam kalangan ahli merupakan asas penting untuk memastikan parti terus berkembang serta mendapat penghormatan daripada pihak lain.
Selain itu, beliau turut menggalakkan ahli parti supaya terus aktif mempromosikan keahlian PDP bagi memastikan parti itu terus berkembang dan kekal relevan pada masa hadapan.
Mesyuarat Agung Tri-Tahunan tersebut turut menyaksikan pemilihan jawatankuasa baharu bagi PDP Bahagian N.69 Kemena untuk penggal baharu.
Dalam pemilihan itu, Datuk Ukar Anak Kelayang sekali lagi dipilih sebagai Pengerusi PDP Bahagian N.69 Kemena.
Sementara itu, Empaling Tuan dipilih sebagai Timbalan Pengerusi, Mampak Mandaw sebagai Ketua Wanita, dan David Bedali sebagai Ketua Pemuda bahagian tersebut. -EDISI UKAS