Teknologi Pesat Tuntut Masyarakat Terus Belajar, Tingkatkan Ilmu
LAWAS: Perkembangan teknologi yang pesat menuntut masyarakat untuk terus belajar dan meningkatkan ilmu agar tidak ketinggalan sehingga hanya menjadi penonton serta bergantung kepada pihak lain.
Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan berkata, masyarakat perlu sentiasa berusaha menambah ilmu pengetahuan agar mampu berdikari dan sentiasa bersaing.
“Dengan kesungguhan, kerajinan bekerja dan semangat untuk terus belajar, kita mampu bersaing serta berdiri di atas kaki sendiri.
"Jangan mudah berputus asa dalam mengejar kejayaan,” katanya ketika berucap pada Program Iftar Perdana Daerah Lawas di Masjid Datuk Pengiran Haji Matusin, Kampung Dato Kuala Lawas, pada Sabtu.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Sari itu menambah, umat Islam di Sarawak juga perlu memberi penekanan terhadap ilmu pengetahuan khususnya ilmu agama agar dapat mendekatkan diri kepada Allah SWT serta melaksanakan tanggungjawab seperti fardu ain dengan sempurna.
Tambahnya, usaha memperkasa pendidikan agama juga akan terus diberi perhatian termasuk perancangan pembangunan kelas-kelas agama bagi memperkukuh kefahaman Islam dalam kalangan masyarakat.
Pada majlis tersebut, beliau turut menyampaikan sumbangan kepada penerima melibatkan bantuan daripada JAKIM dan kawasan N82 Bukit Sari.
Seramai 50 penerima menerima sumbangan berupa bakul makanan dan wang tunai sebagai usaha membantu golongan yang memerlukan menjelang sambutan Aidilfitri.
Selain itu, sebanyak 10 naskhah al-Quran turut diserahkan kepada beberapa kampung di sekitar Merapok dan Kuala Lawas bagi menyokong usaha memperkukuh penghayatan serta pembelajaran al-Quran dalam kalangan masyarakat setempat. -EDISI UKAS