1,289 Golongan Memerlukan Terima Sumbangan Aidilfitri Anjuran PERKIM Lawas
LAWAS: Seramai 1,289 golongan memerlukan termasuk orang kurang upaya (OKU), anak-anak yatim, ibu tunggal dan warga emas di Daerah Lawas menerima sumbangan sempena Aidilfitri menerusi Majlis Penyerahan Sumbangan Hari Raya Aidilfitri 2026/1447H anjuran Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (PERKIM) Cawangan Lawas yang berlangsung di Hotel Roxy, di sini pada Sabtu.
Majlis tersebut telah disempurnakan oleh Timbalan Premier Sarawak merangkap Menteri Sumber Asli dan Pembangunan Bandar II serta Menteri Perdagangan Antarabangsa, Industri dan Pelaburan Sarawak merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Sari, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan yang turut menyampaikan sumbangan kepada para penerima.
Beliau berkata, inisiatif kebajikan seperti itu mencerminkan keprihatinan masyarakat dalam membantu golongan yang memerlukan, khususnya menjelang sambutan Hari Raya Aidilfitri.
“Semoga sumbangan yang disampaikan ini dapat membawa keceriaan kepada golongan yang benar-benar memerlukan dalam kita menyambut Aidilfitri yang merupakan bulan penuh keberkatan serta mengingatkan kita tentang nilai kasih sayang dan kebersamaan dalam masyarakat,” katanya.
Menurut beliau, nilai tolong-menolong dan semangat keprihatinan dalam kalangan masyarakat perlu terus dipupuk bagi memastikan kebahagiaan dapat dirasai oleh semua lapisan masyarakat.
Dalam pada itu, beliau menegaskan bahawa Kerajaan Sarawak akan terus komited memastikan pembangunan negeri berjalan seiring dengan peningkatan ekonomi serta kesejahteraan rakyat melalui pelbagai inisiatif yang memberi manfaat kepada masyarakat.
“Saya berharap golongan belia dapat memainkan peranan sebagai penyambung masa depan negara dengan memupuk semangat tanggungjawab bersama demi membangunkan masyarakat yang lebih sejahtera,” tambahnya.
Sementara itu, Pengerusi PERKIM Cawangan Lawas, Dato Dayang Morliah Datuk Awang Daud berkata program tersebut bukan sekadar acara tahunan, sebaliknya menjadi platform penting dalam memupuk semangat kebajikan dan keprihatinan dalam kalangan masyarakat.
“Kami amat menghargai keprihatinan para penyumbang yang sentiasa menyokong usaha kebajikan PERKIM Lawas sekali gus menjadi pemangkin kepada pelaksanaan lebih banyak program kebajikan pada masa akan datang,” ujarnya.
Pada majlis tersebut, seramai 1,289 penerima daripada empat kategori menerima sumbangan iaitu 171 anak yatim, 186 ibu tunggal, 150 kanak-kanak OKU dan 782 warga emas.
Majlis turut mendapat sokongan daripada beberapa penyumbang termasuk Dato Mohamad Safri Datuk Abdillah, Empayar Setia Sdn. Bhd., Lee Chin Teck, Tecktonic & Sons Holdings Sdn. Bhd., Emart Holding, Laras Jaya, Golden Throne, Pusat Khidmat N.82 Lawas, LAKIL, PERKIM serta Empore Sdn. Bhd.
Turut hadir Ahli Parlimen Lawas, Dato Henry Sum Agong, Residen Bahagian Limbang, Yunus Tambi, Pegawai Daerah Lawas, Ladin Atok, ketua-ketua jabatan serta pemimpin masyarakat setempat.-EDISI UKAS