SUKMA 2024 Platform Terbaik Persiap Atlet Sarawak Ke Peringkat Antarabangsa
KUCHING: Penganjuran Sukan Malaysia Ke-21 (SUKMA XXI) Sarawak 2024 merupakan platform terbaik buat atlet Sarawak untuk mempersiapkan diri menyertai sukan di peringkat antarabangsa.
Setiausaha Tetap Kementerian Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak, Morshidi Fredrick berkata temasya sukan itu boleh menjadi medan menguji kebolehan atlet Sarawak apabila berdepan pertandingan sebenar.
“Kita melihat SUKMA ini sebagai salah satu platform untuk kita mengetengahkan atlet-atlet kita yang berbakat bukan setakat untuk menjuarai SUKMA tetapi lebih daripada itu iaitu untuk mewakili negara kita ke peringkat yang lebih tinggi contohnya Sukan Asia Tenggara (Sukan SEA) dan jika mereka dipilih untuk mewakili negara di peringkat Olimpik.
“Kita mempunyai satu visi iaitu menjadi sebuah kuasa sukan di negara kita pada tahun 2030 dengan melahirkan sekurang-kurangnya lapan Olimpian yang boleh meraih pingat emas bagi Malaysia," katanya.
Beliau berkata demikian kepada Unit Komunikasi Awam Sarawak (UKAS) selepas mengadakan Temu Bual Eksklusif SUKMA ke-21 Sarawak 2024 bersama Radio Televisyen Malaysia (RTM) di Baitul Makmur II pada Selasa.
Dalam pada itu, beliau memberitahu antara kelainan edisi SUKMA 2024 iaitu buat julung kalinya sukan elektronik (E-Sukan) dipertandingkan.
“Kita juga sedia maklum bahawa terdapat banyak sukan-sukan baru yang diketengahkan di Malaysia ini contohnya E-Sport. Tahun 1990 mungkin kita tak pernah dengar apa itu E-sport.
“Saya dimaklumkan juga sukan E-Sport di mana kita mempunyai ramai atlet-atlet yang berkebolehan tinggi dalam acara E-Sport ini,” ujar beliau.
SUKMA Ke-21 bakal diadakan di Sarawak dari 17 hingga 24 Ogos melibatkan sembilan bahagian iaitu Kuching, Samarahan, Serian, Sri Aman, Betong, Sibu, Mukah, Bintulu dan Miri.
Temasya kali ini bakal menyaksikan 37 jenis sukan dipertandingkan membabitkan 488 acara terdiri 236 acara lelaki, 217 acara wanita dan 35 lagi acara campuran lelaki dan wanita selain menghimpunkan 12,619 atlet dan pegawai.-EDISI UKAS