Program Jalinan Kasih Ramadan Bintulu Port Santuni Komuniti di Tujuh Lokasi
BINTULU: Yayasan Bintulu Port melaksanakan Program Jalinan Kasih Ramadan di tujuh lokasi sepanjang bulan Ramadan tahun ini sebagai usaha memperkukuh hubungan dengan komuniti serta berkongsi rezeki bersama masyarakat setempat.
Pengurus Besar Group Stakeholder Relations Bintulu Port Holdings Berhad (BPHB) merangkap Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Bintulu Port, Maslihah Tioh berkata program tersebut merupakan antara inisiatif tanggungjawab sosial korporat (CSR) yang dilaksanakan secara konsisten oleh Bintulu Port setiap tahun.
Menurut beliau, pelaksanaan program berkenaan bukan sahaja bertujuan membantu golongan memerlukan, malah menjadi platform mengeratkan hubungan antara pihak korporat dan komuniti setempat.
“Program ini bukan sahaja bertujuan berkongsi rezeki, malah menjadi platform untuk mengeratkan hubungan antara Bintulu Port dan komuniti setempat,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Jalinan Kasih Ramadan dan Iftar bersama komuniti Kampung Jabai yang berlangsung di Masjid Darul Islam, Kampung Jabai pada Sabtu.
Maslihah yang mewakili Presiden Bintulu Port, Datuk Ruslan Abdul Ghani berkata bagi program di Kampung Jabai, seramai 100 penduduk telah menerima sumbangan bakul makanan sebagai persiapan menyambut Hari Raya Aidilfitri.
Tambahnya, sepanjang Ramadan tahun ini, program berkenaan turut dilaksanakan di beberapa lokasi lain termasuk Surau Darussyakirin, Masjid Darussalam Kampung Baru, Taman Seri Putri di Kuching, majlis Iftar Perdana di Waterfront Kuching, program Ukhwah Ramadan bersama pemegang taruh serta Masjid Al-Hijrah Taman Sri Pelabuhan.
Selain itu, pihak yayasan turut mengagihkan bubur pedas kepada orang awam dan kakitangan Bintulu Port di Lasar Kenyalang sebagai sebahagian daripada aktiviti kebajikan sepanjang bulan Ramadan.
Beliau berharap inisiatif tersebut dapat menceriakan sambutan Aidilfitri dalam kalangan penerima selain memupuk semangat kebersamaan serta keprihatinan sosial antara pihak korporat dan masyarakat.-EDISI UKAS