Bengkel OACS Perkukuh Tadbir Urus Jabatan Premier Sarawak
MIRI: Penganjuran Bengkel Pembangunan Organisational Anti-Corruption Strategy (OACS) selama tiga hari bermula 28 hingga 30 April bertujuan memperkukuh integriti dan tadbir urus sektor awam di Sarawak.
Dalam satu kenyataan media Unit Integriti dan Ombudsman Sarawak (UNIONS) pada Khamis, sepanjang bengkel berlangsung, peserta yang terdiri daripada pegawai kanan dan wakil bahagian telah diberikan pendedahan menyeluruh berkaitan konsep, prinsip serta kerangka pelaksanaan OACS.
Perbincangan turut memfokus kepada pengenalpastian risiko rasuah dalam proses kerja jabatan, di samping merangka langkah kawalan serta pelan mitigasi yang bersesuaian dan praktikal.
Program tersebut digerakkan dengan empat objektif utama, iaitu meningkatkan pemahaman terhadap kerangka OACS, membangunkan mekanisme kawalan risiko rasuah yang berkesan, memperkukuh budaya integriti dalam organisasi, serta menghasilkan dokumen OACS yang lengkap untuk Jabatan Premier Sarawak.
Selain itu, pendekatan berasaskan risiko turut diberi penekanan dalam mengenal pasti ruang kerentanan rasuah, sekali gus memperkukuh mekanisme pemantauan dan penguatkuasaan dalaman.
Hasil daripada sesi perbincangan kumpulan dan pembentangan, bengkel ini berjaya merangka komponen utama dokumen OACS yang merangkumi teras strategik, strategi pelaksanaan serta pelan tindakan yang realistik dan boleh dilaksanakan.
Dokumen OACS yang sedang dimuktamadkan dijangka menjadi rujukan utama dalam memperkasakan agenda integriti organisasi, seterusnya menyokong pencapaian matlamat pembangunan Sarawak yang berdaya tahan menjelang tahun 2030. -EDISI UKAS