20 Peserta Sertai Tilawah Al-Quran Peringkat Daerah Simunjan 2026
SIMUNJAN: Seramai 20 peserta menyertai Majlis Tilawah Al-Quran Peringkat Daerah Simunjan 2026 yang berlangsung di Dewan Muhibbah Kampung Kelka, di sini, pada Rabu.
Penyertaan itu melibatkan 12 qari dan lapan qariah dalam program tahunan anjuran Jabatan Agama Islam Sarawak (JAIS) Bahagian Samarahan bersama Pejabat Daerah Simunjan.
Program yang berlangsung selama dua hari bermula 29 hingga 30 April 2026 itu merupakan acara tahunan yang bertujuan memartabatkan seni bacaan al-Quran, di samping memperkukuh penghayatan nilai-nilai Islam dalam kalangan masyarakat setempat.
Selain itu, ia juga menjadi platform pemilihan wakil daerah ke peringkat seterusnya.
Pada malam pertama, seramai 14 peserta telah memperdengarkan bacaan masing-masing, manakala baki enam peserta meneruskan saingan pada malam berikutnya.
Selain tilawah, pertandingan nasyid peringkat daerah turut diadakan dengan penyertaan 12 kumpulan, di mana lapan kumpulan telah membuat persembahan pada malam pertama dan empat kumpulan lagi tampil pada malam ini.
Bagi kategori tilawah, johan qari dan qariah masing-masing menerima wang tunai RM700, diikuti naib johan RM500 dan tempat ketiga RM300, selain sijil penyertaan serta hadiah iringan berupa barangan elektrik manakala peserta lain menerima saguhati RM100 seorang berserta sijil penyertaan.
Dalam pertandingan nasyid pula, johan membawa pulang RM800, naib johan RM700 dan tempat ketiga RM600 berserta piala, manakala kumpulan lain menerima saguhati RM100.
Program tersebut mendapat sambutan menggalakkan daripada penduduk tempatan yang hadir memberi sokongan kepada para peserta, sekali gus menyemarakkan suasana dengan semangat kebersamaan dalam menghayati syiar Islam.
Majlis penangguhan rasmi bakal berlangsung pada malam ini dan dijangka disempurnakan oleh Ahli Parlimen Batang Sadong, Rodiyah Sapiee.
Turut dijangka hadir ialah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Simunjan, Awla Dris, bagi menyampaikan hadiah kepada para pemenang. -EDISI UKAS