Dewan Perniagaan Cina Kuching Sumbang RM51,000 Untuk Projek Memorial Nan Qiao Ji Gong
KUCHING: Dewan Perniagaan dan Perindustrian Umum Cina Kuching (KCGCCI) menyumbang sebanyak RM51,000 bagi menyokong pembinaan memorial Nan Qiao Ji Gong menerusi projek dikenali sebagai Pillars for Remembrance yang bakal dibangunkan di bangunan baharu Majlis Bandaraya Kuching Selatan (MBKS).
Sumbangan tersebut diserahkan Presiden KCGCCI, Dato Tan Jit Kee kepada Datuk Bandar MBKS, Dato Wee Hong Seng dalam satu majlis penyerahan cek yang berlangsung di Bangunan MBKS, di sini, pada Rabu.
Turut menyaksikan penyerahan itu ialah Timbalan Datuk Bandar MBKS, Dato Zaiedi Suhaili, Presiden Institut Penyelidikan Seni dan Budaya Sarawak, Datuk David Teng Lung Chi, Setiausaha KCGCCI, Dato Jonathan Chai Voon Tok, Naib Presiden KCGCCI, Fam Khing Foh serta ahli jawatankuasa KCGCCI.
Dato Wee berkata, projek memorial berkenaan dibiayai orang ramai dengan kos keseluruhan dianggarkan RM500,000 dan masih memerlukan tambahan dana bagi menampung pembinaannya.
Menurut beliau, projek tersebut diwujudkan sebagai penghormatan kepada sukarelawan pemandu dan mekanik Nanyang Volunteer Drivers and Mechanics, yang pernah mengharungi laluan berbahaya, membawa bekalan penting serta membaiki kenderaan ketika salah satu tempoh paling gelap dalam sejarah dunia.
“Mereka tidak pernah berada di bawah perhatian umum dan tidak pernah meminta pengiktirafan, namun keberanian serta pengorbanan mereka memberi kesan besar.
“Hari ini kita memastikan kisah perjuangan mereka tidak dilupakan,” katanya.
Beliau merakamkan penghargaan kepada KCGCCI atas sumbangan yang disifatkan mencerminkan rasa tanggungjawab tinggi terhadap sejarah dan komuniti setempat.
Katanya, kerjasama semua pihak amat penting bagi memastikan kisah-kisah bersejarah seperti itu terus hidup dalam ingatan masyarakat. -EDISI UKAS