48 Peserta AFF Tasik Biru Terima Bantuan Baja, Racun
BAU: Seramai 48 peserta di bawah Program Fasiliti Pertanian (AFF) dari konstituensi Tasik Biru menerima bantuan input pertanian berupa baja dan racun dalam satu majlis di Perkarangan Pejabat Pertanian Daerah Bau pada Rabu.
Bantuan secara one-off itu melibatkan program peningkatan produktiviti tanaman lada dan kelapa sawit bagi membantu peserta meningkatkan hasil pengeluaran masing-masing.
Simbolik penyerahan bantuan telah disempurnakan oleh Timbalan Menteri Pengangkutan Sarawak (Sungai dan Laut) merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tasik Biru, Datuk Henry Harry Jinep.
Dalam ucapannya, beliau berkata, seramai 2,128 penduduk di kawasan Tasik Biru telah menerima manfaat menerusi program berkenaan sejak AFF mula dilaksanakan pada tahun 2019 hingga 2026.
Jelasnya, ini melibatkan tanaman, perikanan darat, industri Asas Tani dan penternakan yang membabitkan peruntukan dari Kerajaan Sarawak secara kesuruhan berjumlah RM4,000,000.
“Saya berharap dengan adanya bantuan input tersebut, ianya akan dapat mengurangkan beban penerima akibat kenaikan harga baja dan racun kesan kenaikan kos harga minyak dan gas akibat konflik peperangan,” katanya. -EDISI UKAS