KMKK Opar Diseru Lebih Proaktif Sokong Agenda Pembangunan Kawasan
LUNDU: Ketua Masyarakat Dan Ketua Kaum (KMKK) di konstituensi Opar diseru supaya lebih proaktif serta memainkan peranan berkesan dalam menyokong agenda pembangunan di daerah Lundu dan kawasan sekitarnya.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Opar Billy Sujang berkata, KMKK perlu memainkan peranan aktif sebagai pemimpin akar umbi dan sentiasa hadir dalam setiap program rasmi di kawasan masing-masing, khususnya melibatkan lawatan wakil rakyat atau penyerahan projek pembangunan.
Jelasnya, ketidakhadiran pemimpin kampung boleh menimbulkan persoalan dalam kalangan rakyat selain memberi gambaran kurang bertanggungjawab terhadap amanah yang dipikul.
“Sebagai pemimpin, jangan hilang tanpa berita. Jika keluar kawasan atau bercuti, maklumkan kepada rakyat atau penghulu supaya mudah dihubungi sekiranya berlaku kecemasan,” katanya ketika berucap merasmikan Kursus Pemantapan Kepimpinan Ketua Masyarakat dan Ketua Kaum N1 Opar 2026 di Mini Auditorium Majlis Daerah Lundu pada Rabu.
Tambahnya, tiada istilah “orang baharu” bagi seseorang KMKK yang telah dilantik kerana setiap pemimpin perlu segera menyesuaikan diri, proaktif memohon projek dan menyelesaikan masalah rakyat.
Beliau turut mengingatkan supaya perbezaan fahaman politik tidak dijadikan halangan kepada program pembangunan yang memberi manfaat kepada masyarakat kampung.
Dalam pada itu, Billy turut berkongsi pelbagai perancangan pembangunan masa depan di kawasan Lundu dan Opar, termasuk projek Metropolitan Food Cluster Sarawak (MFCS) seluas 894 hektar yang dijangka menyediakan kira-kira 5,600 peluang pekerjaan apabila beroperasi sepenuhnya.
“Projek berkenaan bakal merangkumi pertanian moden seperti rumah hijau tanaman tomato manis, penternakan ayam, itik dan lembu untuk tujuan eksport, selain industri hiliran berkaitan makanan ternakan,” ujarnya.
Selain itu, beliau juga memaklumkan cadangan menjadikan Lundu sebagai hab aeroangkasa menerusi pembangunan pusat pelancar satelit serta kerjasama dengan syarikat industri berkaitan bagi membuka peluang pekerjaan kepada graduan tempatan.
Pada majlis sama, sebanyak 10 watikah pelantikan semula KMKK telah disampaikan kepada penerima terlibat, selain 10 Sijil Pengiktirafan Sebagai Bumiputera Sarawak turut diserahkan. -EDISI UKAS