KUCHING: Timbalan Perdana Menteri Datuk Patinggi Dr Ahmad Zahid Hamidi selamat berlepas pulang ke ibu negara dari Pangkalan Udara Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) Kuching petang Ahad selepas selesai mengadakan lawatan kerja sehari di sini.
Mengiringi beliau ialah, Timbalan Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah, Datuk Rubiah Wang.
Hadir sama, Timbalan Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak, Datuk Snowdan Lawan dan Timbalan Menteri Tenaga dan Alam Sekitar, Datuk Dr Hazland Abang Hipni.
Keberangkatan pulang Datuk Patinggi Dr Ahmad Zahid pada jam 2 petang menggunakan pesawat khas TUDM menandakan tamatnya rangkaian program rasmi sempena lawatan kerja beliau ke Sarawak yang bermula pada 14 Mac.
Sebelum berangkat, beliau bersama dif kenamaan turut berkesempatan mengunjungi pameran ‘Mobile Prop Safe 360’ oleh TUDM.
Sempena lawatan kali ini, Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah itu berkesempatan hadir ke Majlis Santunan Kasih Ramadan dan Program Kemakmuran Pekebun Kecil di Kampung Niup, Kota Samarahan, pada Sabtu.
Lawatan kerja kali ini mencerminkan komitmen Kerajaan Persekutuan dalam mendekati rakyat serta memantau pelaksanaan projek pembangunan di Sarawak, khususnya melibatkan komuniti luar bandar dan pekebun kecil. -EDISI UKAS