Senyuman Anak Yatim Ceriakan Program Beli Pakaian Raya Bersama TPM
KUCHING: Wajah ceria dan senyuman anak-anak yatim serta golongan kurang berkemampuan jelas terpancar apabila mereka berpeluang memilih sendiri pakaian raya dalam program membeli-belah bersama Timbalan Perdana Menteri, Datuk Amar Fadillah Yusof di Aeon Mall di sini pada Ahad.
Seramai 150 kanak-kanak daripada kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Samariang dibawa membeli pakaian sempena sambutan Aidilfitri yang bakal tiba.
Lebih bermakna, Datuk Amar Fadillah bersama isterinya, Datin Amar Ruziah Mohd Tahir turut meluangkan masa memilih sendiri baju Melayu untuk beberapa orang kanak-kanak, sekali gus menceriakan suasana dan membuatkan mereka berasa dihargai.
Anak-anak yang menyertai program tersebut terdiri daripada 22 ranting Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) dalam kawasan Samariang dengan setiap ranting menghantar antara lima hingga tujuh orang peserta.
Turut hadir, Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Undang-Undang, MA63 dan Hubungan Negeri-Persekutuan) merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Samariang, Datuk Sharifah Hasidah Sayeed Aman Ghazali.
Ketika ditemui pemberita, beliau memaklumkan setiap peserta menerima sumbangan sebanyak RM200 bagi membeli pakaian atau keperluan Hari Raya Aidilfitri.
“Ini menunjukkan bahawa Pergerakan Pemuda PBB dan parti PBB di peringkat cawangan sentiasa prihatin terhadap kebajikan masyarakat, khususnya anak-anak kecil agar mereka turut merasai kegembiraan menyambut Aidilfitri,” katanya.
Menurut beliau, program berkenaan telah dilaksanakan sejak 21 tahun lalu dan terus diteruskan sebagai tradisi kebajikan untuk membantu anak-anak yatim serta keluarga kurang berkemampuan di kawasan tersebut.
Sepanjang program berlangsung, Datuk Amar Fadillah turut berkesempatan bertegur sapa dengan pengunjung di pusat membeli-belah berkenaan yang tidak melepaskan peluang menyantuni beliau.-EDISI UKAS
Disediakan oleh: Ahmad Daniel Faiz
Gambar: Ibanez Jeffery & George Embie