Iftar Jamaie Sibujaya 2026 eratkan hubungan masyarakat pelbagai kaum
SIBU: Masyarakat pelbagai kaum memeriahkan Majlis Iftar Jamaie Sibujaya 2026 yang dianjurkan bersama Amcorp Sibu Jaya Sdn Bhd, pemaju Perbandaran Sibu Jaya dan Masjid Al-Madinatul Husna Sibu Jaya pada Sabtu.
Ketua Pegawai Operasi Amcorp Properties Berhad, Mohd Rahimi Mohd Yusof berkata penganjuran majlis berkenaan bertujuan mengeratkan hubungan silaturahim dalam kalangan masyarakat setempat tanpa mengira kaum, agama dan latar belakang.
Menurutnya, program tersebut turut menjadi platform bagi memupuk semangat kebersamaan serta memperkukuh perpaduan dalam komuniti di kawasan Sibu Jaya.
“Tujuan kita mengadakan majlis iftar ini adalah untuk mengeratkan silaturahim antara masyarakat di Sibu Jaya.
“Pada masa sama, ia juga memupuk semangat kebersamaan dalam komuniti,” katanya ketika ditemui pada majlis berkenaan pada Sabtu.
Jelasnya lagi, program seumpama itu penting dalam membentuk masyarakat yang saling menyokong dan hidup dalam suasana harmoni.
“Melalui majlis ini, kita dapat merapatkan hubungan antara semua penduduk tanpa mengira bangsa, agama dan taraf pendidikan.
“Di sini kita duduk bersama dan berbuka puasa sebagai satu komuniti,” ujarnya.
Terdahulu, sumbangan bakul makanan turut disampaikan kepada 35 penerima terdiri daripada golongan asnaf dan mualaf melalui Baitulmal.
Selain itu, HDCam turut menyumbangkan RM10,000 kepada Masjid Al-Madinatul Husna bagi menyokong pelaksanaan aktiviti serta pembangunan masjid berkenaan.
Turut hadir ialah Setiausaha Politik kepada Premier Sarawak, Joshua Ting Fu Ying, Pengerusi Majlis Daerah Luar Bandar Sibu (MDLBS), Sempurai Petrus Ngelai, Pegawai Tugas-tugas Khas kepada Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Dato Sri Tiong King Sing, Agatha Ting serta Setiausaha MDLBS, Ng Siang Wei.-EDISI UKAS