BETONG: Pelaksanaan pelbagai projek di bawah Agensi Pembangunan Bahagian Betong (BDDA) terus membawa limpahan pembangunan kepada penduduk luar bandar, termasuk di kawasan Layar Ili yang kini menerima manfaat menerusi pelaksanaan projek infrastruktur, kesihatan dan pembangunan sosioekonomi.
Timbalan Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak, Datuk Gerald Rentap Jabu berkata antara projek yang sedang dan akan terus dilaksanakan ialah menaik taraf Jalan Tanjung Assam hingga ke Stambak Ili, selain projek menaik taraf Klinik Kesihatan Mid Layar serta cadangan pembinaan Pusat Akademi Belia di kawasan berkenaan.
Menurut beliau, Fasa Kedua pelaksanaan BDDA kini memberi tumpuan kepada pembangunan sosioekonomi dengan pelbagai program bakal dilaksanakan, termasuk projek ternakan ayam yang telah bermula melibatkan kumpulan sasar di kawasan tersebut.
“Dalam rumah panjang, semua orang ada peranan. Kita mesti saling menyokong antara satu sama lain, sokong tuai rumah, sokong Jawatankuasa Kemajuan Dan Keselamtan Kampung (JKKK), sokong penghulu dan ketua masyarakat.
“Dengan kerjasama inilah kita dapat memastikan pembangunan berjalan dengan baik,” katanya ketika berucap pada Majlis Pemimpin Bersama Rakyat yang diadakan di Rh. Barau Ak Unji, Benggang, Betong pada Ahad.
Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Layar turut menegaskan bahawa kejayaan pembangunan luar bandar bukan sahaja bergantung kepada pelaksanaan projek fizikal, malah turut memerlukan sokongan padu masyarakat terhadap kepimpinan di peringkat akar umbi.
Katanya, setiap lapisan kepimpinan dalam komuniti rumah panjang, bermula daripada Ketua Isi Rumah (KIR), tuai rumah, penghulu, pemanca, temenggung hingga ke peringkat pentadbiran daerah dan wakil rakyat, memainkan peranan penting dalam menjaga kebajikan masyarakat dan menentukan hala tuju pembangunan setempat.
Menyentuh mengenai bantuan kerajaan, Datuk Gerald mengingatkan masyarakat supaya memanfaatkan bantuan seperti Sumbangan Keperluan Asas Sarawak (SKAS) yang disalurkan melalui aplikasi S Pay Global.
Menurut beliau, masih terdapat segelintir masyarakat yang kurang mahir menggunakan kemudahan digital tersebut, justeru ketua masyarakat dan ketua kaum diharap dapat memainkan peranan membantu agar tiada individu yang layak tercicir daripada menerima bantuan berkenaan.
Dalam masa sama, beliau turut mengingatkan masyarakat supaya menggunakan bantuan yang diterima secara berhemah dalam menghadapi peningkatan kos sara hidup ketika ini.
Beliau turut menekankan kepentingan pendidikan dalam kalangan generasi muda, khususnya menerusi inisiatif pendidikan tinggi percuma yang diperkenalkan oleh kerajaan Sarawak.
Ujar beliau, peluang tersebut perlu dimanfaatkan sepenuhnya oleh anak-anak luar bandar, manakala ibu bapa pula perlu memberi sokongan agar mereka dapat belajar bersungguh-sungguh demi membina masa depan yang lebih baik.
Sementara itu, Ahli Parlimen Betong, Dato Dr Richard Rapu berkata, kerajaan telah melaksanakan pelbagai inisiatif bagi membantu rakyat menangani kenaikan kos sara hidup termasuk program BUDI MADANI RON95, Sumbangan Tunai Rahmah (STR), Sumbangan Asas Rahmah (SARA) serta Jualan Rahmah, manakala Kerajaan Sarawak pula menyediakan bantuan melalui SKAS.
Majlis tersebut turut menyaksikan penyampaian sijil penghargaan kepada Penghulu George Gerie yang telah bersara selain sijil pelantikan kepada Sebastian Kadam Randy sebagai Penghulu baharu bagi kawasan Layar Ili.
Selain itu, sijil pelantikan turut disampaikan kepada tuai rumah yang dilantik baharu dan dilantik semula bagi 19 buah rumah panjang di kawasan berkenaan.
Turut hadir Pegawai Daerah Betong Laga Kueh, Penguasa Tanah dan Survei Bahagian Betong Moris Nayup, Pegawai Pertanian Bahagian Betong Leo Toni, Pemanca Masyarakat Iban Daerah Betong Norman Ngumbang, Penghulu Kawasan Layar Ili Sebastian Kadam Randy serta Tuai Rumah Rh. Benggang Barau Unji. -EDISI UKAS