Hari Tuai Rumah Meradong Kukuh Perpaduan Pemimpin Masyarakat
BINTANGOR: Hari Tuai-Tuai Rumah dan Mesyuarat Agung Persatuan Tuai-Tuai Rumah Daerah Meradong bagi penggal 2024–2025 telah diadakan di Hee Bin Leau Restaurant, di sini pada Sabtu bagi menghimpunkan para Tuai Rumah serta pemimpin masyarakat di daerah tersebut.
Majlis tersebut diserikan lagi dengan kehadiran Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Meradong, Datuk Ding Kuong Hiing.
Semasa berucap, beliau menekankan bahawa Tuai Rumah memainkan peranan penting sebagai pemimpin masyarakat dan penghubung antara rakyat dengan kerajaan bagi memastikan keamanan, kestabilan serta pembangunan di kawasan terus terpelihara.
Di samping itu, Datuk Ding juga menggalakkan para Tuai Rumah agar terus berpegang kepada adat resam serta nilai budaya masyarakat, disamping bergerak seiring dengan perkembangan semasa termasuk dalam aspek pembangunan, pendidikan dan pendigitalan komuniti.
Dalam ucapan sama, beliau turut mengumumkan penyaluran geran khas Projek Kecil Luar Bandar (MRP) berjumlah RM5,000 kepada Persatuan Tuai-Tuai Rumah Daerah Meradong bagi menyokong pelaksanaan aktiviti tahunan persatuan sepanjang 2026.-EDISI UKAS