Datuk Rubiah Ziarah Pesakit Menerusi Program Ziarah Kasih Zon Stakan
KUCHING: Prihatin terhadap kebajikan masyarakat, Timbalan Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah merangkap Ahli Parlimen Kota Samarahan, Datuk Rubiah Wang mengadakan Ziarah Kasih Zon Stakan dengan menziarahi beberapa penduduk yang kurang sihat di Kampung Jawa Semenggok Batu 12, di sini, pada Ahad.
Dalam kunjungan tersebut, Datuk Rubiah terlebih dahulu menziarahi kediaman seorang warga emas, Muslan Ahmat, 82, yang kini berdepan masalah kesihatan selepas mengalami penyakit strok.
Beliau meluangkan masa bertanya khabar serta memberikan kata-kata semangat kepada Muslan selain mendoakan agar beliau diberikan kekuatan dan kesembuhan dalam menghadapi ujian kesihatan yang dialami.
“Semoga beliau terus diberikan kekuatan, dipermudahkan segala urusan serta kesihatannya bertambah baik dari hari ke hari,” katanya.
Datuk Rubiah turut menziarahi seorang lagi penduduk kampung, Pima Dirim, 64, yang juga berdepan cabaran kesihatan selepas mengalami strok ringan yang sedikit sebanyak menjejaskan pergerakan hariannya.
Difahamkan, Pima sebelum ini aktif mengusahakan perusahaan kecil membuat kerepek untuk dijual bagi menambah pendapatan keluarga.
Sehubungan itu, Datuk Rubiah turut mendoakan agar Pima terus diberikan kekuatan selain berharap kesihatannya semakin pulih agar beliau dapat kembali menjalani kehidupan seperti biasa.
Menurut beliau, program ziarah seperti ini amat penting sebagai tanda keprihatinan pemimpin terhadap masyarakat, khususnya golongan yang sedang diuji dengan masalah kesihatan.
“Program seperti ini memberi peluang kepada kita untuk turun padang, bertemu secara langsung dengan masyarakat serta menyantuni mereka yang memerlukan sokongan moral dan perhatian,” ujarnya.
Lawatan tersebut kemudiannya diteruskan ke kediaman Othman Daee, 73, yang kini berdepan beberapa masalah kesihatan dan terpaksa menggunakan kerusi roda bagi memudahkan pergerakan harian.
Walaupun diuji dengan keadaan kesihatan, Othman masih petah berbual dan menyambut baik kunjungan yang diadakan sebagai tanda keprihatinan terhadap dirinya.
Datuk Rubiah turut berkesempatan menziarahi abang ipar Othman iaitu Idi Sahari, 74, yang kini mengalami masalah daya ingatan.
Dalam kunjungan tersebut, beliau turut menyampaikan sedikit sumbangan kepada keluarga terlibat sebagai tanda sokongan serta keprihatinan terhadap keadaan yang dihadapi.
Terdahulu, program berkenaan turut diserikan dengan aktiviti gotong-royong memasak bubur lambuk yang melibatkan ahli Wanita Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Cawangan Stakan serta penduduk kampung sebelum diagihkan kepada penduduk Kampung Jawa Semenggok dan pengguna jalan raya di sekitar kawasan tersebut sebagai juadah berbuka puasa.
Penganjuran program itu dilihat bukan sahaja menyemarakkan suasana Ramadan, malah memperkukuhkan hubungan silaturahim antara pemimpin dan masyarakat di samping menyemai nilai keprihatinan dalam komuniti.
Hadir sama, Ketua Wanita PBB Cawangan Stakan Lela Adini dan Ketua Pemuda PBB Cawangan Stakan Mohd Azmizan Karim. -EDISI UKAS