Bagi nelayan di Kampung Batu Satu, Jalan Kuala Baram, Miri, musim bubuk bukan sekadar fenomena laut.
Ia adalah musim yang paling dinanti setiap tahun ibarat 'bonus tahunan' yang mampu mengubah nasib keluarga nelayan dalam masa yang singkat.
Setiap pagi seawal jam tujuh, bot-bot nelayan sudah meninggalkan jeti menuju ke laut, kira-kira tujuh kilometer dari pantai.
Dalam tempoh dua hingga tiga jam sahaja, mereka akan cuba mengutip rezeki yang muncul hanya beberapa minggu dalam setahun itu.
Kebiasaannya, musim bubuk bermula kira-kira dua minggu selepas Tahun Baharu Cina.
Namun tempohnya tidak menentu, kadangkala hanya sebulan, ada juga tahun yang berlanjutan sehingga tiga bulan bergantung kepada keadaan laut.
Bubuk yang dijual di Tamu Kampung Batu Satu
Bagi nelayan tempatan, Abdul Mutalib Jaludin, 59, apabila musim bubuk tiba, hasil yang diperoleh mampu menyelesaikan pelbagai keperluan hidup nelayan.
“Musim bubuk ini seperti bonus tahunan bagi kami.
"Apa-apa masalah kewangan selalunya boleh diselesaikan ketika musim ini,” ujarnya ketika ditemui Kembara UKAS 2026 Demi Rakyat semasa persinggahan pada hari ketujuh di Bandaraya Miri.
Abdul Mutalib Jaludin
Menurutnya, hasil musim bubuk sering digunakan untuk melunaskan komitmen kewangan termasuk bayaran pinjaman bank yang biasanya dijelaskan setahun sekali.
"Ada di antara nelayan di membayar pinjaman bank setahun sekali, hasil daripada tangkapan bubuk.
"Masa ini juga kami membeli keperluan lain dengan lebih mudah," ujarnya.
Beliau yang telah menjadi nelayan seawal Darjah Enam mengikut bapanya turun ke laut berkata, terdapat dua kaedah utama digunakan untuk menangkap bubuk.
"Peralatan pertama ialah 'sobo', kaedah tradisional yang digunakan apabila bubuk timbul di permukaan laut.
"Namun dalam kebanyakan keadaan, bubuk lebih banyak berada di dasar laut. Oleh itu nelayan terpaksa menggunakan kaedah lain yang mampu mengaut hasil dari dasar laut," jelasnya.
Nelayan Kampung Batu Satu memunggah hasil tangkapan
Walaupun kaedah tersebut sering menjadi perdebatan kerana dikaitkan dengan kerosakan dasar laut, nelayan tempatan menegaskan mereka hanya menangkap bubuk di kawasan tertentu dan tidak memasuki kawasan batu karang.
Tanpa penggunaan peralatan itu, kata mereka, hasil tangkapan akan merosot dengan ketara kerana kebanyakan bubuk berada di dasar laut.
Di Kampung Batu Satu sahaja terdapat sekitar 40 hingga 50 bot nelayan yang aktif menangkap bubuk setiap musim.
"Kebanyakan nelayan terdiri daripada masyarakat Kedayan dan Iban, manakala penglibatan kaum lain agak kecil.
Nelayan memunggah bubuk untuk dijual di Tamu Kampung Batu Satu
"Industri menangkap bubuk di kawasan itu sebenarnya telah wujud sejak puluhan tahun lalu.
"Pada sekitar tahun 1975, kaedah tangkapan masih dilakukan secara tradisional sebelum seorang nelayan dikenali sebagai Allahyarham Fauzi Noh memperkenalkan teknik yang lebih moden sekitar awal 1980-an.
"Sejak itu, industri kecil ini berkembang menjadi sumber rezeki penting bagi komuniti nelayan tempatan," katanya yang pernah menggalas tanggungjawab sebagai Ketua Komuniti Nelayan Kampung.
Beliau berkata, setiap kali turun ke laut mereka mampu menangkap kira-kira 1,000 kilogram bubuk.
Tamu Kampung Batu Satu
Orang ramai mendapatkan bubuk segar di Tamu Kampung Batu Satu
" Harga bubuk segar dijual sekitar RM6 hingga RM7 sekilogram, bergantung kepada kualiti dan jumlah tangkapan pada hari tersebut.
"Permintaan daripada penduduk tempatan agak tinggi kerana ada yang membeli sehingga ratusan kilogram untuk diproses sebelum dijual semula.
"Selain itu, pembeli dari Brunei juga kadangkala datang mendapatkan bubuk dalam jumlah kecil untuk dijadikan bahan masakan dan makanan seperti cucur," ujarnya.
Namun kehidupan sebagai nelayan bukanlah mudah.
Mereka masih berdepan pelbagai cabaran termasuk kenaikan kos operasi, musim tengkujuh serta tempoh laut bergelora sekitar bulan Ogos hingga Disember yang menyukarkan bot untuk keluar menangkap ikan.
"Namun, dalam keadaan tertentu, kami terpaksa juga turun ke laut walaupun risiko kemalangan meningkat kerana itu sahaja sumber pendapatan kami.
"Selain itu, kami juga bergantung kepada subsidi kerajaan seperti bantuan sara hidup sekitar RM300 sebulan dan subsidi petrol kira-kira 40 sen seliter," tambahnya.
Pada masa yang sama, Abdul Mutalib berharap proses pembaharuan lesen dapat dipercepatkan kerana kelewatan selama dua hingga tiga bulan boleh menyebabkan bantuan sara hidup tidak dapat disalurkan.
Beliau yang mewakili komuniti nelayan di kampung tersebut juga berharap agar kerajaan dapat menyelesaikan masalah kelodak di jeti mereka.
Ujarnya, kelodak menyebabkan keadaan di kawasan jeti semakin tohor yang menyukarkan mereka memunggah hasil tangkapan.
Keadaan laut tohor di Jeti Kampung Batu Satu menyukarkan nelayan memunggah hasil laut
Bagi nelayan di Kuala Baram, laut bukan sekadar tempat mencari rezeki, tetapi warisan yang diwarisi dari satu generasi ke generasi seterusnya.
Dan setiap kali musim bubuk tiba, laut seolah-olah menghadiahkan kembali hasilnya kepada mereka yang sabar menunggu, sebuah rezeki yang terus menyambung kehidupan komuniti nelayan di pesisir Miri.
Produk Bubuk
Sementara itu, Kembara UKAS 2026 Demi Rakyat turut menemui salah seorang pengusaha produk bubuk di Desa Senadin.
Juliana Jonathan yang telah mengusahakan produk daripada bubuk sejak lebih tiga dekad tidak keberatan untuk berkongsi pengalaman beliau menghasilkan belacan, bubuk kering dan juga cencaluk.
Juliana Jonathan menjemur bubuk sebelum diproses
"Proses untuk menghasilkan belacan agak rumit.
"Pertama, bubuk perlu dicampurkan dengan garam semalaman sebelum dijemurkan.
"Setelah dua hingga ketiga hari, bubuk yang sudah kering akan ditumbuk secara berkala iaitu setiap dua hingga ke tiga jam hingga menjadi halus," jelasnya.
Ujarnya, beliau kebiasaannya membeli bubuk puluhan kilogram untuk menghasilkan belacan.
"Kadang-kadang untuk menghasilkan belacan, kita perlu tempoh seminggu.
"Bergantung dengan keadaan cuaca," ujarnya.
Antara proses menghasilkan belacan
Produk belacan beliau sering mendapat sambutan termasuk pembeli dari luar Miri seperti Bintulu dan Kuching.
Namun ujarnya, selain untuk menambah pendapatan keluarga, beliau menjadikannya sebagai hobi dan sering memberi produk belacan kepada saudara mara dan rakan-rakan secara percuma atau buah tangan.
"Harga bagi sekilogram belacan sekitar RM60.
"Saya juga ada menghasilkan produk lain seperti cencaluk dan bubuk kering," tambahnya.
Kesungguhan Juliana membuktikan bahawa warisan pembuatan produk berasaskan bubuk masih terus hidup di Desa Senadin.
Dengan pengalaman lebih tiga dekad, usahanya bukan sahaja menambah pendapatan keluarga, malah mengekalkan tradisi makanan tempatan yang terus mendapat sambutan hingga ke luar Miri.- DEMI RAKYAT