500 Pek Bubur Lambuk Dikongsi Bersama Komuniti Rampangi Sempena Ramadan
KUCHING: Sebanyak 500 pek bubur lambuk diagihkan kepada penduduk sekitar Kampung Rampangi Fasa 2 dalam usaha menyemarakkan Ramadan serta mengeratkan hubungan silaturahim antara pemimpin dan komuniti setempat.
Program Agihan Bubur Lambuk yang berlangsung di Surau Jamek Darul Ibadah, Kampung Rampangi Fasa 2 itu telah disempurnakan oleh Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Penyelaras Projek untuk Agensi Pembangunan Wilayah, Dewan Bandaraya Kuching Utara (DBKU) dan Hal Ehwal Islam), Datuk Dr Abdul Rahman Junaidi.
Program anjuran Cawangan Pusat Khidmat Pantai Damai tersebut mendapat sambutan menggalakkan daripada penduduk setempat yang hadir bersama ahli keluarga bagi menerima agihan bubur lambuk.
Inisiatif tersebut bukan sahaja mencerminkan semangat berkongsi rezeki dalam bulan Ramadan, malah menjadi medium memperkukuh hubungan silaturahim serta memupuk semangat kebersamaan dalam kalangan masyarakat.
Penganjuran aktiviti seumpama ini diharap dapat diteruskan pada masa hadapan sebagai usaha menyemai nilai perpaduan, semangat gotong-royong serta memperkukuh hubungan antara pemimpin dan rakyat. -EDISI UKAS