Program Sejambak Kasih Bantu Ringankan Beban Penduduk Dua Kampung
KUCHING: Seramai 58 penduduk dari Kampung Stutong Baru Melayu dan Kampung Batu Perak menerima sumbangan bakul makanan menerusi Program Sumbangan Bakul Makanan Sejambak Kasih serta Majlis Iftar 2026 yang berlangsung di Farley Mall, di sini, pada Ahad.
Program anjuran Pusat Khidmat ADUN Kota Sentosa dengan kerjasama Farley Mall Kuching itu disempurnakan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Sentosa, Wilfred Yap Yau Sin sebagai usaha menyantuni golongan yang memerlukan sempena bulan Ramadan.
Sumbangan bakul makanan yang diagihkan mengandungi minuman air tin serta beberapa barangan makanan asas bagi membantu meringankan beban penerima dalam membuat persiapan sepanjang Ramadan.
Menurut Wilfred Yap, bulan Ramadan merupakan waktu yang mengingatkan masyarakat tentang nilai kasih sayang, keprihatinan serta semangat berkongsi rezeki dengan golongan yang memerlukan.
Beliau berkata, inisiatif melalui program Sejambak Kasih merupakan usaha Pusat Khidmat ADUN Kota Sentosa untuk menyampaikan bantuan kepada keluarga yang memerlukan agar mereka dapat menjalani Ramadan dengan lebih tenang bersama keluarga.
“Walaupun sumbangan ini tidak besar nilainya, namun ia diberikan dengan penuh keikhlasan sebagai tanda kebersamaan dan keprihatinan terhadap masyarakat setempat,” katanya.
Tambah beliau, sebagai wakil rakyat, komitmen akan terus diberikan untuk mendekati rakyat serta memastikan kebajikan masyarakat sentiasa diberi perhatian tanpa mengira kaum atau latar belakang.
Program tersebut turut memperlihatkan kerjasama erat antara pemimpin masyarakat dan sukarelawan tempatan dalam menjayakan inisiatif kebajikan demi kesejahteraan komuniti setempat. - EDISI UKAS