25 Pelajar Tahfiz Ikuti Latihan Juruterbang AirAsia
ASAJAYA: Kerjasama strategik antara GIATMARA dan Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) terus membuka ruang baharu kepada pelajar tahfiz apabila seramai 25 pelatih daripada institusi tahfiz kini sedang mengikuti latihan untuk menjadi juruterbang AirAsia.
Timbalan Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah merangkap Ahli Parlimen Kota Samarahan, Datuk Rubiah Wang berkata, kumpulan pelajar tersebut kini menjalani latihan intensif di Universiti Kuala Lumpur Malaysian Institute of Aviation Technology (UniKL MIAT), Subang.
Menurut beliau, pencapaian itu membuktikan bahawa sistem pendidikan negara semakin terbuka dan inklusif sekali gus mematahkan tanggapan bahawa lepasan tahfiz hanya tertumpu kepada bidang keagamaan semata-mata.
“Kita mahu melahirkan modal insan yang bersepadu, profesional seperti juruterbang, arkitek dan doktor, namun pada masa sama memiliki jiwa keagamaan yang tinggi serta mampu menghafal Al-Quran,” katanya ketika Majlis Penghargaan Pelajar Cemerlang di sini pada Ahad.
Mengulas lanjut, Datuk Rubiah berkata pelajar tahfiz kini turut menceburi bidang teknikal termasuk sektor rel menerusi projek Autonomous Rapid Transit (ART) di Sarawak.
Beliau turut memaklumkan bahawa lima pelajar tahfiz telah dipilih mewakili Malaysia ke Taiwan bagi menyertai latihan kemahiran teknikal melibatkan bidang kimpalan, keselamatan siber dan beberapa bidang teknikal lain.
Menurutnya, disiplin mental yang dibentuk melalui proses menghafal Al-Quran memberi kelebihan kepada pelajar tahfiz untuk menguasai ilmu teknikal yang kompleks.
“Pintu peluang di institusi seperti IKM, KPTM dan politeknik sentiasa terbuka luas untuk mereka,” tambahnya.
Dalam majlis sama, beliau turut menyampaikan anugerah kepada pelajar cemerlang Ujian Penilaian Kelas KAFA (UPKK) dari kawasan Asajaya dan Samarahan sebagai galakan untuk terus mencapai kecemerlangan akademik serta sahsiah diri.
Turut hadir ialah Pegawai Daerah Asajaya Jerry Zannuddin Bidin, Mudir merangkap Pengurus Pusat Pendidikan Muhammad Al-Fateh Ahmad Hafizuddin Hamzah, Temenggong Masyarakat Melayu Bahagian Samarahan Temenggong Chek Bujang, Pegawai Agama Islam Bahagian Pejabat Agama Islam Bahagian Samarahan Bahrin Kawi serta Penghulu Kampung Asajaya Teruna Mat.-EDISI UKAS