Karnival Bola Sepak Antara DUN Bahagian Kapit Erat Hubungan Pemimpin & Komuniti
KAPIT: Karnival Bola Sepak Antara Pasukan Dewan Undangan Negeri (DUN) Peringkat Bahagian Kapit 2026 menjadi platform mengeratkan hubungan antara pemimpin dan masyarakat di samping menyemarakkan semangat kesukanan serta gaya hidup sihat.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Katibas Lidam Assam berkata, karnival yang berlangsung dari 13 hingga 15 Mac 2026 di Stadium SSC Kapit itu turut mencerminkan komitmen berterusan dalam memperkasakan aktiviti sukan sebagai medium penyatuan komuniti.
“Program seperti ini bukan sahaja memberi ruang kepada masyarakat untuk beriadah dan berdaya saing secara sihat, tetapi juga menjadi platform terbaik untuk merapatkan hubungan antara pemimpin dan rakyat,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa majlis penangguhan karnival tersebut bagi mewakili Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Undang-undang dan Adat Bumiputera) merangkap ADUN Bukit Goram Datuk Jefferson Jamit Unyat.
Dalam kejohanan itu, pasukan N.63 Bukit Goram muncul sebagai johan sekali gus membawa pulang wang tunai RM3,000 berserta piala pusingan.
Pasukan N.61 Pelagus pula muncul naib johan dengan menerima hadiah wang tunai RM2,000, manakala pasukan N.62 Katibas menduduki tempat ketiga dan membawa pulang RM1,000.
Turut hadir pada majlis penangguhan berkenaan ialah Setiausaha Politik kepada Menteri Kerja Raya Malaysia Datuk Alvin Runggah Jimbun serta Presiden Kelab Peminat Manchester United Bahagian Kapit Sylvester Anthony Gong.-EDISI UKAS