400 Pek Bubur Lambuk Diagihkan Kepada Orang Ramai di Kampung Teh
MUKAH: Sebanyak 400 pek bubur lambuk telah diagihkan kepada orang ramai menerusi Program Agihan Bubur Lambuk Pertubuhan Belia Kebangsaan Bersatu Sarawak (SABERKAS) Ramadan yang berlangsung di Dewan Komuniti Kampung Teh pada Ahad.
Program yang menerima sambutan menggalakkan daripada masyarakat setempat, khususnya pengguna jalan raya yang melalui kawasan dewan tersebut telah disempurnakan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Balingian, Abdul Yakub Arbi.
Program itu dianjurkan oleh Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Kampung Teh dengan kerjasama SABERKAS UniTeh sebagai usaha berkongsi rezeki dengan masyarakat setempat, di samping mengimarahkan bulan Ramadan melalui aktiviti kemasyarakatan.
Dalam pada itu, program tersebut turut menjadi platform untuk mengeratkan hubungan silaturahim antara penduduk kampung, golongan belia dan komuniti setempat.-EDISI UKAS