RM18,000 Geran MRP Disalurkan Kepada Enam Surau di DUN Balingian
MUKAH: Sejumlah RM18,000 geran Projek Kecil Luar Bandar (MRP) Dewan Undangan Negeri (DUN) Balingian telah disalurkan kepada enam surau menerusi Program Santuni Kasih Ramadan dan Majlis Berbuka Puasa di Surau Darul Abrar, Kampung Sesok Baru, pada Ahad.
Menurut Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Balingian, Abdul Yakub Arbi, geran berkenaan adalah tanda sokongan berterusan kepada usaha mengimarahkan rumah ibadah di kawasan DUN Balingian.
"Saya berharap agar jawatankuasa surau dapat menggunakan peruntukan yang diberikan dengan sebaik mungkin khususnya dalam melaksanakan aktiviti keagamaan dan kemasyarakatan sepanjang bulan Ramadan," katanya ketika berucap dalam program tersebut.
Dalam program yang sama, beliau turut menyampaikan sumbangan bakul makanan kepada 25 penerima yang mengandungi keperluan asas dapur bagi membantu meringankan beban mereka membuat persiapan menyambut Hari Raya Aidilfitri.
Hadir sama, Pegawai Daerah Mukah Peleadzman Ahip, Ketua Polis Daerah Mukah DSP Muhamad Rizal Alias dan Pengerusi Jawatankuasa Surau Darul Abrar Kampung Sesok Baru Khairuddin Sura Faiz.-EDISI UKAS