108 Pelajar Tahfiz Terima Baju Raya & Duit Raya, Geran RM15,000 Perkasa Institusi
ASAJAYA: Seramai 108 pelajar tahfiz Pusat Pendidikan Muhammad Al-Fateh menerima sumbangan set pakaian baju raya dan duit raya sempena Majlis Ihya Ramadan yang disempurnakan oleh Timbalan Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah, Datuk Rubiah Wang pada Ahad.
Dalam majlis tersebut, Datuk Rubiah yang juga Ahli Parlimen Kota Samarahan turut mengumumkan geran bantuan berjumlah RM15,000 bagi menyokong kelangsungan operasi serta menambah baik kemudahan pusat pendidikan berkenaan.
Menurut beliau, bantuan tersebut diharap dapat membantu memastikan institusi pendidikan agama seperti pusat tahfiz terus berperanan melahirkan generasi hafiz yang berilmu, berakhlak dan mampu menyumbang kepada pembangunan ummah.
“Kerajaan sentiasa memberi perhatian terhadap kebajikan institusi pendidikan agama, khususnya di kawasan luar bandar, agar kemudahan yang disediakan kekal kondusif untuk pembelajaran,” katanya.
Selain penyampaian sumbangan Aidilfitri kepada para pelajar, beliau turut meluangkan masa berbuka puasa bersama warga pusat pendidikan tersebut dalam suasana penuh ukhuwah dan kebersamaan.
Pada majlis sama, pihak pengurusan Tahfiz Al-Fateh turut membuat kejutan dengan meraikan ulang tahun kelahiran Datuk Rubiah melalui simbolik pemotongan kek sebelum majlis berbuka puasa berlangsung. -EDISI UKAS