Tambahan Nilai SKAS Bukti Kebajikan Rakyat Sarawak Terus Jadi Keutamaan
SIBU: Peningkatan nilai Sumbangan Keperluan Asas Sarawak (SKAS) bagi tahun ini membuktikan komitmen berterusan Kerajaan Sarawak dalam memastikan kebajikan rakyat terus menjadi keutamaan.
Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya merangkap Ahli Parlimen Bintulu Dato Sri Tiong King Sing berkata, kerajaan negeri terus komited menyalurkan bantuan kepada rakyat melalui inisiatif berkenaan yang kini memasuki tahun kedua pelaksanaannya.
“Tahun ini, nilai bantuan bagi kategori isi rumah telah dinaikkan daripada RM800 kepada RM950.
"Bagi kategori warga emas dan mahasiswa pula, bantuan meningkat daripada RM400 kepada RM500, manakala bagi kategori bujang dinaikkan daripada RM250 kepada RM300," katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas menyempurnakan majlis pelancaran SKAS 2026 peringkat DUN Dudong di Pusat Sukan Komuniti Azman Hashim, Sibu Jaya, pada Ahad.
Dato Sri Tiong yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Dudong itu turut menasihatkan para penerima supaya menggunakan bantuan berkenaan dengan sebaik-baiknya demi keperluan diri dan keluarga serta mengelakkan sebarang pembaziran.
Jelasnnya, agihan bantuan tersebut akan disalurkan kepada penerima dalam tiga fasa iaitu pada 10 Mac, Mei dan November depan.
Dalam pada itu, beliau turut menggesa rakyat agar memanfaatkan teknologi menerusi aplikasi SPay Global, iaitu dompet digital rasmi kerajaan negeri bagi memudahkan urusan harian.
Katanya, setakat ini, data menunjukkan lebih 90 peratus penerima bantuan telah mendaftar dengan aplikasi berkenaan.
"Kerajaan Sarawak menggalakkan penggunaan SPay Global yang direka khusus untuk memudahkan transaksi tanpa tunai," jelasnya lagi.-EDISI UKAS