500 Penduduk Meriahkan Majlis Berbuka Puasa “Juh Berambeh Pantai Belawai”
TANJUNG MANIS: Suasana penuh meriah dan harmoni menyelubungi kawasan Pantai Belawai apabila kira-kira 500 penduduk dari Belawai, Jerijih, Rajang dan Tanjung Manis berkumpul bagi memeriahkan majlis berbuka puasa “Juh Berambeh Pantai Belawai”, baru-baru ini.
Program yang memasuki tahun kedua penganjurannya itu dianjurkan oleh Pejabat Daerah Tanjung Manis sempena Ramadan, sekali gus menjadi medan terbaik untuk mengukuhkan hubungan silaturahim dalam kalangan masyarakat setempat.
Ahli Parlimen Tanjong Manis, Dato’ Ir Yusuf Abd Wahab, turut hadir memeriahkan majlis berkenaan bersama penduduk pelbagai lapisan usia yang membawa aneka juadah untuk dinikmati secara bersama ketika berbuka puasa.
Beliau melahirkan rasa gembira terhadap sambutan amat menggalakkan yang diterima program tersebut, sekali gus mencerminkan semangat kebersamaan dan perpaduan yang utuh dalam kalangan masyarakat di kawasan berkenaan.
Menurut beliau, penganjuran program seumpama itu bukan sahaja mampu merapatkan hubungan antara penduduk, malah menjadi ruang untuk berkongsi rezeki serta bertukar-tukar juadah dalam suasana Ramadan yang penuh keberkatan.
Dato’ Ir Yusuf turut menyatakan keyakinan bahawa program seperti itu wajar diteruskan pada masa hadapan memandangkan sambutan positif yang diterima daripada masyarakat setempat.
Bagi menambah kemeriahan majlis, Pejabat Daerah Tanjung Manis turut mengagihkan bubur lambuk dan bubur pedas kepada para pengunjung yang hadir.
Hadir sama, Pegawai Daerah Tanjung Manis Ismail Kasah.-EDISI UKAS