Lebih 8,000 Meriahkan Karnival Bazar Ramadan, Berbuka Puasa Bersama Komuniti Sibujaya
SIBU: Karnival Bazar Ramadan, Berbuka Puasa Bersama Komuniti Sibujaya terus mencipta suasana meriah apabila berjaya menarik kehadiran lebih 8,000 pengunjung di Pusat Sukan Komuniti Azman Hashim, Sibujaya, pada Ahad.
Majlis tersebut turut diserikan dengan kehadiran Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya merangkap Ahli Parlimen Bintulu, Dato Sri Tiong King Sing, yang meluangkan masa berbuka puasa bersama masyarakat setempat.
Dalam kenyataan medianya, beliau berkata penganjuran program sedemikian bukan sahaja menyediakan ruang interaksi sosial kepada penduduk, malah membuka lebih banyak peluang ekonomi kepada masyarakat di sekitar Sibujaya.
Menurut beliau, Bazar Ramadan berasaskan komuniti sentiasa mendapat sambutan menggalakkan serta memainkan peranan penting dalam merancakkan ekonomi setempat.
"Ia memberi peluang kepada penduduk tempatan yang berminat mencuba dan ingin memulakan perniagaan secara kecil serta mengembangkan perniagaan masing-masing secara berperingkat," katanya.
Program yang berlangsung sepanjang bulan Ramadan hingga penghujungnya itu merupakan anjuran bersama Pusat Khidmat Dewan Undangan Negeri (DUN) Dudong dan Lion Club of Sibu Loving Care.
Sebanyak 35 gerai dibuka dengan menampilkan pelbagai pilihan makanan tradisional dan hidangan halal seperti dim sum, kompia, wantan halal, sate, nasi briyani, roti canai serta pelbagai juadah lain.
Dato Sri Tiong yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Dudong turut meluangkan masa mengagihkan bubur lambuk, bubur kacang hijau dan kuih-muih kepada para pengunjung.
Beliau ditemani oleb Ahli Parlimen Lanang, Alice Lau Kiong Yieng, serta Timbalan Menteri Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan Sarawak, Datuk Michael Tiang Ming Tee.-EDISI UKAS