51 Penerima Terima Sumbangan Aidilfitri, Ahli Parlimen Batang Sadong Umum Dana RM100,000 Naik Taraf Masjid
SADONG JAYA: Seramai 51 penduduk yang memerlukan di Zon 4 Rangawan menerima sumbangan kebajikan menerusi inisiatif Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) Cawangan Sarawak sempena Program Jalinan Kasih Ramadan Batang Sadong 2026 di Masjid Darul Rahman, Kampung Rangawan, pada Ahad.
Ahli Parlimen Batang Sadong, Rodiyah Sapiee berkata, sumbangan berjumlah keseluruhan RM12,750 itu bertujuan meringankan beban penerima selain memberi keceriaan kepada mereka menjelang sambutan Hari Raya Aidilfitri.
Menurut beliau, setiap penerima menerima sumbangan bernilai RM250, merangkumi RM100 wang tunai serta bakul makanan bernilai RM150 yang mengandungi barangan keperluan menjelang Aidilfitri.
Rodiyah yang juga Ahli Lembaga Pengarah SKM menjelaskan bahawa program tahunan tersebut menjadi wadah kepada Pusat Khidmat Parlimen Batang Sadong untuk menyantuni masyarakat secara langsung di 74 buah masjid dan surau di seluruh kawasan Parlimen berkenaan.
Dalam perkembangan sama, beliau turut mengumumkan kelulusan peruntukan berjumlah RM100,000 bagi kerja-kerja menaik taraf Masjid Darul Rahman, Kampung Rangawan.
Menurutnya, peruntukan tersebut melibatkan kerja menaik taraf lantai dan dinding masjid, manakala permohonan baharu seperti pembinaan siling akan diteliti melalui tinjauan teknikal oleh pihak Pejabat Pembangunan Sarawak (SDO) bersama Pejabat Parlimen Batang Sadong.
“Pihak SDO dan Pejabat Parlimen akan turun ke lapangan untuk menilai keperluan teknikal serta kos tambahan yang diperlukan bagi cadangan penambahbaikan tersebut,” jelasnya.
Menyentuh mengenai pembangunan jangka panjang, Rodiyah turut mengambil maklum keperluan pembinaan masjid atau surau baharu berikutan pertambahan populasi penduduk di kawasan tersebut.
Sehubungan itu, beliau mengalu-alukan mana-mana pihak yang berhasrat untuk mewakafkan tanah bagi tujuan pembinaan fasiliti ibadah agar dapat berbincang dengan pihak beliau atau Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Simunjan, Awla Dris bagi tindakan susulan bersama Jabatan Tanah dan Survei Sarawak.
Turut hadir ialah ADUN Simunjan, Awla Dris, Pengarah SKM Negeri Sarawak, Norazlan Anuar, Penolong Pegawai Tadbir Pejabat Daerah Kecil Sadong Jaya, Abdullah Sam Yusup, Ketua Kampung Rangawan, Tegak Matnor serta Pengerusi Masjid Darul Rahman, Mohd Noor Abdullah.-EDISI UKAS