Lebih 40 Sekolah Utara Sarawak Perkukuh Jaringan Pendidikan
MIRI: Lebih 40 sekolah menengah di bahagian utara Sarawak memperkukuh jaringan pendidikan bersama Curtin University Malaysia bagi memperluas peluang pembelajaran dan pendedahan kepada pelajar.
Kerjasama itu diperkasa menerusi Teachers’ Conference dan Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) yang berlangsung di Curtin Malaysia, pada Selasa.
Menteri Pengangkutan Sarawak, Dato Sri Lee Kim Shin berkata kerjasama antara sekolah dan universiti penting dalam memastikan generasi muda bersedia menghadapi perubahan ekonomi dan teknologi.
“Kerjasama antara sekolah, universiti, industri, kerajaan dan komuniti amat penting dalam memastikan generasi muda bersedia menghadapi perubahan ekonomi dan teknologi yang semakin pesat di Sarawak,” katanya ketika berucap pada majlis tersebut.
Mengulas lanjut, beliau berkata MoU berkenaan perlu diterjemahkan melalui kerjasama berterusan termasuk pendidikan STEM, pembelajaran praktikal, pembangunan profesional guru dan kesedaran kerjaya.
Jelasnya, pendedahan menerusi lawatan universiti, pengalaman di makmal serta interaksi bersama ahli akademik dan penyelidik dapat membantu pelajar mengenal pasti minat serta membina aspirasi untuk melanjutkan pengajian.
“Nilai sebenar MoU ini akan diukur melalui pelajar yang mendapat pendedahan, guru yang memperoleh pengetahuan, pertukaran idea dan peluang baharu yang dapat diwujudkan,” ujarnya.-EDISI UKAS